Di acara Langkawi International Maritime and Airspace Exhibition (LIMA) yang berlangsung pada awal tahun ini, syarikat teknologi tempatan yang bernama Aerodyne Group telah memperlihatkan rekaan untuk sebuah prototaip kereta terbang yang dinamakan Vector.
Prototaip kenderaan terbang tersebut dikatakan akan siap menjelang Oktober tahun ini, dan walaupun pihak kerajaan tidak mempunyai sebarang input didalam pembinaan kenderaan ini, mereka membantu dari segi pembangunan ekosistem mobiliti udara, terutamanya dari segi merumuskan dasar, peraturan dan sokongan industri.
Terkini, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata bahawa prototaip kereta terbang Vector tersebut kini sudah 85 peratus siap, dan terdapat kebarangkalian bahawa ia akan siap secara sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Menurut beliau lagi, prototaip kereta terbang ini sedang dibina di Jepun, kerana negara tersebut mempunyai ekosistem sokongan yang memudahkan Aerodyne Group untuk membina kenderaan tersebut, disamping mengujinya.
Menteri tersebut juga berkata bahawa beliau sedang berbincang dengan beberapa kementerian lain, khususnya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Penerbangan Awam untuk membangunkan kawasan yang membolehkan kenderaan ini diuji di Malaysia.
Beliau juga akan ke Jepun pada bulan September kelak untuk menghadiri sebuah persidangan penerbangan, dan untuk melihat sejauh manakah ketersediaan kereta terbang tersebut untuk membuat penerbangan sulungnya.