Carian
Harley Davidson Melancarkan Basikal Elektrik Untuk Kanak-Kanak Berusia 3 Tahun
August 21, 2019 Effi Saharudin

Jika ingin melentur buluh baik dari rebungnya ialah perumpamaan turun temurun Melayu yang popular.  Ibu bapa memainkan peranan untuk mencorak kehidupan anak mereka sejak dari kecil. Jika dilakukan dengan baik kebarangkalian mereka menjadi insan berguna adalah tinggi. Di Harley Davidson mereka mungkin percaya untuk menghasilkan generasi penunggang motosikal masa hadapan, ia boleh dilakukan dengan basikal elektrik keluaran mereka sendiri.

Dua model basikal elektrik telah dilancarkan oleh Harley Davidson yang boleh digunakan oleh kanak-kanak berumur 3 tahun. IronE12 dihasilkan untuk penunggang berumur 3-5 tahun dengan tayar sebesar 30 cm dan hanya seberat 7.7 kg. Sementara itu IronE16 adalah untuk kanak-kanak berumur 5-7 tahun dengan tayar sebesar 40 cm dan hanya seberat 8.6 kg.

Motor elektrik diletakkan di dalam hab tayar belakang dengan pendikit diletakkan pada bahagian pemegang. Dengan sekali caj, kedua-dua model boleh beroperasi sehingga 60 minit dengan kelajuan maksimum 17 km/j. Bateri boleh ditanggalkan untuk dicaj dan basikal berubah menjadi kenderaan sorong biasa tanpa kuasa. Harga jualan bermula dari $649 (~RM 2710) sebuah.

Bagi pengguna lebih dewasa Harley Davidson ada menawarkan basikal elektrik atau motosikal elektrik Livewire.

Komen