Cari @ Amanz

Toyota Dijangka Menghasilkan 3700 Kenderaan Hybrid Untuk Acara Sukan Olimpik Dan Paralimpik 2020

Oleh Nazrin

Link Copied!

Beberapa bulan lalu, kami ada melaporkan bahawa syarikat pembina kenderaan Toyota akan menghasilkan 200 kenderaan elektrik untuk acara sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo.

Nampaknya 200 kenderaan elektrik tersebut, yang dinamakan e-Pallette akan disertai oleh 3500 lagi kenderaan elektrik dan hibrid lain yang akan membawa penumpang ke pelbagai tempat sewaktu acara sukan tersebut, melalui konsep Mobility For All.

Menurut Toyota, kenderaan-kenderaan ini akan hadir melalui pelbagai bentuk dan saiz, termasuklah kereta, motorsikal, skuter, bas dan sebagainya. Daripada 3700 kenderaan-kenderaan ini, 2700 daripadanya akan digunakan untuk membawa penumpang, dan selebihnya kebarangkalian untuk kegunaan sukarelawan dan pegawai penyelia acara.

Melalui kenderaan-kenderaan ini, Toyota dikatakan bukan sahaja akan memperlihatkan kebolehan enjin elektrik mereka, tetapi juga kenderaan-kenderaan hibrid yang menggunakan bahan api yang berbeza seperti petrol dan juga hidrogen.

Kenderaan-kenderaan yang akan diperlihatkan oleh Toyota termasuklah Toyota APM, Toyota e-Pallette, Toyota Concept-i, Toyota Mirai dan skuter Toyota BEV.

Syarikat tersebut juga mengatakan bahawa kenderaan-kenderaan ini hanya akan menghasilkan gas karbon dioksida sebanyak 80 g/km, iaitu kurang daripada separuh daripada kenderaan-kenderaan petrol dan diesel yang mempunyai saiz yang sama dengan kenderaan-kenderaan elektrik oleh Toyota.

Kebanyakan, jika tidak semua kenderaan-kenderaan Toyota ini turut dilengkapi dengan ciri swapandu, dan untuk mengurangkan kadar kemalangan, kenderaan-kenderaan ini turut dilengkapi dengan teknologi Toyota Safety Sense dan juga Lexus Safety System +.

Acara sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo nampaknya bakal menjadi acara sukan yang paling moden, dan akan hadir dengan pelbagai teknologi yang pastinya akan mengujakan ramai pengunjung.


Komen ()