Amazfit GTS Dan Smart Sports Watch 3 Dilancarkan

Amazfit GTS Dan Smart Sports Watch 3 Dilancarkan

Diterbitkan pada Ogos 28, 2019 oleh .

Huami adalah anak syarikat Xiaomi yang menghasilkan jam tangan pintar. Semalam mereka melancarkan dua lagi jam tangan pintar baharu dengan rekaan yang menarik. Kita mulakan dengan Amazfit GTS terlebih dahulu yang mempunyai rekaan skrin berkotak dan tubuh logam seakan sebuah Amazfit Health.

Ia dilengkapi skrin 1.65 AMOLED dengan resolusi 348×442 pixel dan tubuh yang diperbuat daripada bahan aluminium. Dengan ketebalan 9.4mm, tubuh Amazfit GTS adalah lebih nipis berbanding sebuah Apple Watch. Ketahanan bateri sebesar 220mAh adalah sehingga 14 hari dalam mod pintar atau sehingga 46 hari dalam mod jam tangan biasa. Ia kalis air sehingga kedalaman 50 meter.

 

Sensor yang disertakan ialah pengimbas nadi, accelerometer, barometer, GPS dan NFC. Sebuah tombol kawalan pada sisi berbentuk bulat diletakkan pada sisi kanan jam. Terdapat enam pilihan warna kesemuanya dengan tali 20mm yang diperbuat daripada bahan polimer.

Seterusnya ialah Amazfit Smart Sports Watch 3 dengan skrin 1.34″ berbentuk bulat dan tubuh yang diperbuat daripada besi tahan karat. Turut ditawarkan ialah versi elit dengan tubuh titanium dan kaca nilam. Kedua-dua model hadir dengan memori sebesar 512MB dan storan 4GB yang membolehkan ia dijadikan pemain muzik dengan tambatan bluetooth.

Dengan bateri sebesar 300 mAh, ia boleh berfungsi sehingga 70jam jika fungsi penjejak GPS diaktifkan atau sehingga 14 hari dalam mod ultra. Seperti GTS, jam tangan pintar ini juga mempunyai ketahanan air sehingga 50meter serta dilengkapi sensor-sensor yang sama.

Amazfit GTS dijual pada harga RMB900 (~RM528) seutas manakal Amazfit Smart Smports Watch 3 pula dijual pada harga RMB1300 (~RM821) untuk versi biasa dan RMB1700 (~RM997) untuk versi Elite.



TIPS & ULASAN