Pada awal bulan ini, Intel memperkenalkan pemproses terbaru generasi ke-10 mereka yang menyasarkan penggunaan pada komputer riba. Semalam Lenovo mengumumkan model kemas kini untuk ThinkPad X1 Carbon, X1 Yoga, T490, X390 dengan cip Intel Comet Lake. Pada waktu yang dua model terbaru ThinkPad L13 dan L13 Yoga turut diperkenalkan dengan cip pemproses yangs sama.
ThinkPad X1 Carbon generasi ketujuh akan ditawarkan dengan cip Intel Core generasi ke-sepuluh dengan pilihan sehingga 6 teras. Ini membolehkan kandungan 4K Dolby Vision dipaparkan pada skrin sebesar 14-inci. Dengan teknologi Project Athena, komputer riba ini mempunyai hayat bateri sehingga 18.5 jam dengan sekali caj. Harga jualan ThinkPad X1 Carbon adalah bermula dari $1479 (~RM6247) sebuah
Seperti X1 Carbon, ThinkPad X1 Yoga generasi ke-empat turut akan ditawarkan dengan cip Intel generasi ke-sepuluh sehingga enam teras, Kesemuanya di dalam pakej setebal 15.5mm dan hanya seberat 1.4kg, Komputer riba boleh dilipat ini mempunyai ketahanan bateri sehingga 18.3 jam dengan pengecasan bateri sehingga 80% dalam masa hanya sejam. Harga jualan ThinkPad X1 Carbon adalah bermula dari $1609 (~RM6797) sebuah
ThinkPad T490 akan ditawarkan dengan pilihan sehingga Intel Core i7 generasi ke-sepuluh, skrin WQHD Dolby Vision dan bateri yang bertahan sehingga 15 jam. ThinkPad X39o menerima pilihan kemas kini pemproses yang serupa tetapi dengan bateri yang bertahan hampir 17 jam dengan sekali caj. Harga jualan ThinkPad T490 adalah bermula dari $1129 (~RM4770) sebuah manakala ThinkPad X390 pula bermula dari $1019 (~RM4304).
Akhir sekali ialah ThinkPad L13 dan ThinkPad L13 Yoga yang merupakan siri baharu dengan skrin sebesar 13″ dengan sokongan sesentuh. Kedua-dua model diberikan pilihan sehingga Intel Core i7 dengan bateri yang boleh bertahan sehingga 14 jam. Perbezaan terletak pada L13 Yoga dengan skrin yang boleh diputar 360 darjah. Harga jualan ThinkPad L13 adalah bermula dari $749 (~RM 3164) sebuah manakala ThinkPad L13 Yoga pula bermula dari $919 (~RM3882).