Huawei MediaPad M6 dilancarkan pada bulan Jun lalu. Ia adalah tablet dengan spesifikasi yang hebat seperti dijana Kirin 980, bateri sehingga 7500mAH, skrin 2K dan pembesar suara Harmon/Kardon.
Terkini, tablet ini telah dikemaskini dengan versi Turbo Edition. Ia hadir dengan butang fizikal Turbo untuk mengaktifkan mod gaming. Spesifikasi adalah sama dengan MediaPad 8.4-inci biasa, seperti Kirin 980, bateri 6100mAH – tetapi memori dinaik taraf kepada 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Panel belakang hadir dengan rekaan yang menawan, seakan Honor 9X, kamera utama adalah 13MP dan kamera swafoto pula adalah 8MP. Disebabkan ini adalah tablet gaming, ia disertakan dengan sistem penyejukan cecair.
Menurut Huawei, bateri 6100mAh ini boleh bermain PUBG Mobile sehingga 7.1 jam tanpa henti dan mempunyai sokongan pengecasan pantas yang boleh mengecas tablet ini sehingga penuh dalam masa 2.2 jam sahaja. Tablet ini menjalankan EMUI 9.1 berasaskan Android 9.0 Pie dan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu merah atau biru.
Harga jualan adalah RMB2699 untuk edisi WiFi sahaja (~RM1594) dan RMB2999 untuk edisi selular (~RM1771). Ia dijual di China sahaja buat masa ini dan tiada khabar lagi jika ia akan dijual di negara lain ataupun tidak.