Carian
Pete Lau Menjelaskan Kenapa Android TV Dipilih Sebagai Sistem Operasi OnePlus TV
August 30, 2019 Fahim Zahar

Beberapa minggu lepas, televisyen pintar OnePlus diumumkan secara rasmi. Ia diberi nama OnePlus TV dan ia bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah televisyen, tetapi juga hab sosial pintar. Panel skrin yang digunakan adalah QLED dan ia akan menjalankan Android TV.

Pete Lau semalam telah memberi penjelasan kenapa OnePlus TV dipilih sebagai sistem operasi. Menurut beliau selepas OnePlus 7 Pro dilancarkan dengan skrin 90Hz, yang mana menawarkan pengalaman penggunaan yang pantas dan lancar. Oleh yang demikian, beliau ingin menawarkan pengalaman yang sama pada OnePlus TV dan Android TV adalah sistem operasi yang membolehkan mereka menawarkan pengalaman penggunaan yang baik.

Android TV adalah sistem operasi Android untuk televisyen. Jadi ia hadir dengan banyak ciri seperti Play Store dan juga Google Assistant. Kemudian, disebabkan OnePlus TV adalah produk peranti berhubung pertama mereka dan untuk ia berinteraksi dengan peranti Android dengan lebih baik – Android TV adalah pilihan yang baik. Akhir sekali, dengan kerjasama bersama Google, Android TV menawarkan kemaskini sehingga 3 tahun.

Terdapat juga laporan sebelum ini yang mengatakan Android TV pada OnePlus TV adalah berbeza dengan Android TV lain. Ini kerana OnePlus dikatakan akan mengimplementasikan kod yang menjadikan OxygenOS pantas kepada Android TV. Untuk ketahui bagaimana pantasnya OnePlus TV ini, sama-sama kita nantikan pelancarannya kelak.

Komen