Sony Xperia 1 adalah peranti mercu Sony tahun ini. Ia hadir dengan paparan bernisbah 21:9 CinemaWide dengan resolusi 4K HDR daripada panel OLED. Peranti Sony juga merupakan satu-satu jenama yang rekaannya sehingga hari ini tidak ‘meniru’ jenama lain dan kekal dengan rekaan tersendiri. Beberapa hari lepas, peranti baharu Xperia telah muncul di arena web yang dikatakan adalah peranti mercu terbaru mereka.
Hari ini, imej pengolokan penuh pula telah tertiris. Ia dikatakan adalah Xperia 2 dan membawakan rekaan yang lebih kurang sama. Cuma kali ini lokasi kamera adalah di sisi dan bukan lagi di tengah. Menurut sumber, skrin saiz kali ini 6.1-inci yang mana lebih kecil dari sebelum ini – 6.5-inci. Cip pemproses dikatakan kekal dengan Snapdragon 855 yang dipadankan dengan memori 6GB RAM dan 128GB storan dalaman. Kemudian, lensa kamera dikatakan adalah 12MP untuk ketiga-tiganya dan lensa yang digunakan adalah dari Sony sendiri.
Ada kemungkinan juga yang ini adalah peranti Xperia 1 Compact dan bukannya Xperia 2. Ia dijangka akan diperkenalkan pada acara IFA 2019. Apa-apa pun mari kita sama-sama nantikan.