Loncatan nombor model versi untuk peranti dan perisian bukanlah sesuatu yang baru. Apple membuat loncatan nombor model dari iPhone 8 ke iPhone X, dan Microsoft juga terkenal untuk menggunakan nama Windows 10 untuk sistem operasi mereka apabila ia diumumkan akan menggantikan Windows 8.
Tirisan semalam bahawa peranti seterusnya Sony Xperia 1 akan dinamakan Sony Xperia 5 ternyata benar apabila syarikat teknologi dari Jepun tersebut mengumumkan kehadiran peranti tersebut sewaktu acara pelancarannya sebentar tadi.
Bermula dengan saiz paparan, nampaknya Sony kini menggunakan paparan skrin OLED bersaiz 6.1-inci yang mempunyai resolusi 2560×1080 (Ultrawide Full HD) dengan nisbah paparan sinematik 21:9 yang lebih kecil berbanding dengan peranti Xperia 1 sebelum ini yang juga mempunyai saiz peranti yang lebih besar.
Walaupun begitu, ia masih hadir dengan sokongan untuk teknologi High Dynamic Range yang meningkatkan lagi kontras warna paparan, dan disokong oleh aplikasi penstriman seperti Netflix untuk pengalaman menonton video yang lebih menyerlah. Beralih kepada spesifikasi dalaman peranti ini, Sony Xperia 5 ini dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon 855, tetapi buat masa ini, spesifikasi lain seperti memori dan storan masih belum diperlihatkan lagi.
Jika ada satu ciri pada peranti Xperia 5 ini yang boleh dikatakan lebih berkuasa berbanding dengan Xperia 1, ia semestinya modul kamera tiga lensa yang digunakan. Jika Xperia 1 hadir dengan tiga lensa 12mm, Xperia 5 dilengkapi dengan kamera 16mm, 26mm dan 52mm selari dengan banyak modul kamera peranti pintar lain yang hadir dengan fokus kepada pengambilan ultra-lebar dan zoom yang jauh.
Bukan itu sahaja, sistem kamera ini juga dilengkapi dengan sistem pemfokusan seperti Eye AF dan sistem penstabilan video Optical Steadyshot yang juga dapat dilihat pada Xperia 1.
Bagi mereka yang gemar bermain permainan mudah-alih, Sony juga menyertakan sokongan sambungan kepada pengawal permainan Dual Shock 4 dan mengumumkan bahawa buat masa ini, ia disokong secara penuh oleh permua battle royale popular Fortnite.
Di acara pengumuman peranti ini, Sony Xperia 5 ini dilihat akan hadir didalam empat pilihan warna, iaitu hitam, putih, merah dan biru. Buat masa ini, pra-tempah peranti Sony Xperia 5 ini akan dibuka untuk pasaran Eropah bermula minggu hadapan, dan akan mula dijual pada bulan Oktober kelak.