Pengeluar lain sudah mengumumkan peranti skrin boleh lipat mereka dengan Galaxy Fold akhirnya akan mula dijual minggu hadapan selepas berbulan ditangguh. Di IFA, LG G8X ThinQ telah diumumkan dengan aksesori dwi-skrin bagi pengguna yang memerlukan peranti dengan skrin lebih besar. Ini adalah peranti kedua tahun ini selepas LG V50 ThinQ yang mempunyai aksesori yang sama.
LG G8X ThinkQ dilengkapi skrin 6.4″ OLED FHD+, dijana cip Snapdragon 855, memori sebesar 6GB, storan sebesar 128GB dengan sokongan kad mikro SD sehingga 2TB dan bateri sebesar 4000 mAh. Kamera hadapan sebesar 32MP dengan sensor Quad Bayer manakala kamera utama pula sebesar 12+13 Megapixel. Sensor kedua dipadakan dengan lensa sudut ultra-lebar 136 darjah.
Pengimbas cap jari diletakkan di bawah skrin dan sistem pembesar suara stereo disertakan lengkap dengan sokongan audio DTS:X 3D Surround Sound . Bagi memantapkan lagi kemampuan audio, sebuah Hi-Fi Quad DAC disertakan seperti model-model peranti mercu LG terdahulu. Peranti juga cukup tahan lasak melepasi piawaian kalis air IP68 dan MIL-STD 810G.
Untuk mendapatkan dwi-skrin, pengguna boleh membeli aksesori LG Dual Screen dengan skrin utama 6,4″ OLED FHD+ dan skrin sekunder kecil hitam putih sebesar 2.1″. Apabila dilipat, skrin ini berubah menjadi kerangka. Tiada bateri tambahan disertakan dan kuasa untuk menggunakan skrin ini diambil dari bateri LG G8x ThinQ. Harga jualan masih belum diumumkan.