Cari @ Amanz

Acara sukan Olimpik 2020 yang bakal berlangsung di Tokyo nampaknya bakal hadir dengan pelbagai teknologi moden yang baru dan tidak dilihat dimana-mana lagi sebelum ini.

Selain daripada penggunaan pelbagai jenis kenderaan elektrik dan swapandu, Intel juga dilihat akan memperlihatkan teknologi penjejakan 3D terbaru mereka yang dinamakan 3DAT ataupun 3D Athlete Tracking yang akan menjejak aktiviti atlit-atlit di acara sukan tersebut secara menyeluruh.

Teknologi 3DAT ini dikatakan boleh mengesan pergerakan atlit-atlit yang dijejaknya, dan dari situ, penyiar televisyen boleh menggunakan visual tindanan (visual overlay) untuk menunjukkan pelbagai statistik mengenai atlit tersebut.

Intel mengatakan mereka akan menggunakan teknologi tersebut untuk acara-acara olahraga seperti pecut 100 meter dan sebagainya. Teknologi ini akan digunakan bersama-sama dengan rangkaian 5G yang sedang dibangunkan oleh kerajaan Jepun, dan ini menjanjikan bahawa data yang diterima dan dipaparkan di televisyen adalah tepat dan jitu.

Bukan itu sahaja, Intel turut bekerjasama dengan pihak IOC (International Olympic Committee) dan akan menggunakan teknologi realiti maya sebagai alat latihan untuk urusetia-urusetia sukan Olimpik 2020.

Disamping itu, ia juga dilaporkan bahawa cip pemprosesan mereka akan digunakan untuk menguasakan sistem pengimbasan wajah NeoFace yang akan digunakan untuk mengenalpasti staf dan atlit di acara tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd