Carian
Firefox Test Pilot Kembali – Ujian Bermula Dengan VPN Yang Diberi Nama Firefox Private Network
September 12, 2019 Fahim Zahar

Pada bulan Mei tahun 2016, Mozilla memperkenalkan program Test Pilot – iaitu program bagi pengguna menguji fungsi baharu pelayar web Firefox sebelum ia dilancarkan. Selepas hampir tiga tahun, Januari 2019 program ini ditamatkan. Akhirnya selepas beberapa bulan, Mozilla telah memulakan semula program Test Pilot ini.

Buat masa ini hanya ada satu perisian sahaja yang boleh diuji. Ia diberi nama sebagai Firefox Private Network. Perisian ini hadir dalam bentuk Firefox Extension, atau pemalam dan ia hanya terhad dengan pengguna di Amerika Syarikat sahaja. Pemalam ini juga hanya boleh digunakan pada pelayar web versi desktop sahaja. Jadi, apa itu Firefox Private Network?

Ia sebenarnya hanyalah satu perkhidmatan VPN, tetapi Mozilla tidak ingin menggelarnya sebagai VPN. Fungsi pemalam ini adalah seperti berikut;

  • Perlindungan ketika mengakses WiFi awam – Sebaik sahaja pengguna berhubung dengan WiFi awam, pelayar web Firefox akan melindungi pengguna melalui satu rangkaian khas. Kesemua data-data pengguna akan dilindungi termasuk maklumat kewangan, maklumat perdibadi dan lain-lain.
  • Alamat IP akan akan disorokkan – Seperti perkhidmatan VPN lain, alamat IP pengguna akan ditukar dengan alamat IP baharu.
  • Aktifkan pada bila-bila masa sahaja. Firefox Private Network hadir dalam bentuk pemalam dengan satu butang akses pantas. Bila-bila sahaja pengguna ingin menggunakannya, hanya dengan satu klik pengguna akan dilindungi.
Komen