Huawei akan melancarkan peranti Mate 30 mereka pada minggu ini di Munich. Seperti biasa apabila tarikh pelancaran semakin hampir imej pengolokan rasmi peranti akan tertiris awal. Hari ini imej pengolokan rasmi untuk Huawei Mate 30 Pro, Mate 30, Mate 30 Lite dan Mate 30 Porsche Design telah ditiriskan oleh @evleaks.
Kita mulakan dengan Mate 30 Pro dengan kamera utama yang diletakkan di dalam bonjol kamera berbentuk bulat. Seperti P30 Pro, Mate 30 Pro akan dilengkapi empat kamera utama lengkap dengan sistem zum optikal periskop.
Skrin mempunyai sisi yang melengkung hampir 90 darjah sehingga ke bahagian sisi dan takuk yang besar untuk sistem imbasan wajah 3D. Hanya sebuah butang kuasa dapat dilihat pada sisi kanan tanpa sebarang butang kawalan suara disertakan.
Mate 30 juga mempunyai rekaan yang hampir sama cuma dengan skrin yang rata, takuk kecil untuk dwi-kamera kamera hadapan tanpa imbasan 3D dan hadir dengan butang suara pada sisi kanan peranti. Mate 30 Lite pula ialah model dengan spesifikasi sederhana lengkap dengan lubang pada skrin, empat kamera utama dan pengimbas cap jari pada panel belakang,
Akhir sekali Mate 30 Porsche Design mengekalkan rekaan susunan kamera 2X2 tetapi tanpa bonggol berbentuk bulat. Seperti peranti Porsche Design tahun lalu, panel belakang nampaknya menggunakan bahan kulit. Ia adalah sebuah Mate 30 Pro dengan bahan binaan lebih premium. Tiada maklumat mengenai spesifikasi lengkap keempat-empat peranti. Tetapi yang pasti Mate 30 Pro dan Mate 30 Pro Porsche Design pastinya menggunakan cip terkini Kirin 990 yang dilancarkan di IFA tempoh hari.