Huawei & Maxis Bekerjasama Untuk Rangkaian 5G – Mate 20X Mampu Mencapai 1.31Gbps

Huawei & Maxis Bekerjasama Untuk Rangkaian 5G – Mate 20X Mampu Mencapai 1.31Gbps

Diterbitkan pada Sep 19, 2019 oleh .

Rangkaian 5G adalah sambungan internet mudah alih yang terkini. Di Amerika Syarikat, China, beberapa negara dalam benua Eropah, rangkaian ini sudah pun mula digunakan oleh beberapa syarikat telekomunikasi. Tetapi di Malaysia, rangkaian 5G secara meluas hanya akan sedia secara penuh pada tahun 2023 kelak.

Tetapi tahukah anda, yang rangkaian 5G sudah pun boleh diuji di Malaysia oleh orang ramai? Lebih menarik, rangkaian 5G ini adalah untuk di dalam bangunan dan bukan di luar. Banyak ujian syarikat telekomunikasi sekarang mengujinya di luar bangunan. Perkara ini tidak mustahil kerana kerjasama antara Huawei dan Maxis. Melalui kerjasama ini, Huawei kini mempunyai Zon Pengalaman 5G di Huawei Experience Store, Pavilion Elite. Zon pengalaman ini menggunakan Huawei LampSite untuk mendapatkan sokongan rangkaian 5G bagi dalam bangunan.

Dalam ujian yang dilakukan sebentar tadi, Huawei Mate 20X 5G mampu mencapai kelajuan muat turun pada 1310 Mbps. Manakala, bagi ujian muat naik pula ia mampu mencapai 90.6 Mbps. Rangkaian ini menggunakan kad SIM khas dari Maxis. Ujian lain yang mereka lakukan adalah, memuat turun sepuluh aplikasi dari Huawei AppGallery. Peranti Mate 20X 5G selesai memuat turun kesemua aplikasi dalam masa sekitar satu minit. Manakala, Mate 20X versi biasa (4G) baru selesai muat turun satu sahaja aplikasi dan baru sahaja bersedia untuk memuat turun aplikasi kedua.

Mereka turut menguji memuat turun fail video 720p, dari aplikasi penstriman video IQiyi. Fail video menghampiri 900MB mengambil masa kurang 20 saat pada Mate 20X 5G dan versi 4G baru sekitar 10% muat turun. Melalui sokongan rangkaian ini juga, kad SIM 5G turut boleh digunakan pada modem seperti Maxis Broadband. Jadi rangkaian 5G ini boleh digunakan pada rumah untuk bermain permainan video. Ujian yang Huawei lakukan ini adalah, permainan realiti maya Beat Saber pada komputer riba gaming. Dalam ujian ini, tiada lengah masa dan sela masa berlaku – kerana 5G membolehkan pengguna menikmati pengalaman bermain permainan video dengan latensi yang sangat rendah.

Duka cita dimaklumkan, pengguna hanya boleh menguji rangkaian 5G ini di Huawei Experience Store, Pavilion Elite sahaja. Ini kerana, rangkaian 5G Maxis ini belum boleh digunakan secara umum. Begitu juga dengan peranti Mate 20X 5G yang belum lagi sedia dijual. Bagi yang berminat untuk menguji, anda boleh kunjungi ke Zon Pengalaman 5G ini bermula hari ini 19 September sehingga 6 Oktober.


TIPS & ULASAN