Google Play Music disertakan secara terpasang pada kesemua peranti Android yang menerima sokongan rasmi dari Google. Walaupun dilancarkan secara rasmi pada tahun 2011, sehingga kini ia tidak disokong secara rasmi di Malaysia. Belum sempat ia disokong sepenuhnya, ia kini mula digantikan oleh YouTube Music.
Google mengesahkan mulai sekarang YouTube Music akan menggantikan Google Play Music sebagai aplikasi pemain audio terpasang pada kesemua peranti Android baharu. Ini diguna pakai pada peranti yang menggunakan Android 10 dan Android 9 Pie. Ini adalah petanda paling jelas perkhidmatan Google Play Music akan dihentikan.
Walaupun kedua-duanya adalah perkhidmatan Google, Play Music mempunyai satu kelebihan kerana membenarkan pengguna memuat naik sehingga 50,000 MP3 peribadi ke storan awanan secara percuma. Ini membolehkan mereka mempunyai perkhidmatan penstriman peribadi. YouTube Music masih belum menyokong fungsi ini. Seperti Play Music, YouTube Music juga masih belum dilancarkan di Malaysia.