Cari @ Amanz

Hari ini akhirnya, peranti ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Paling mengejutkan adalah, buat pertama kalinya peranti Android yang rasmi di Malaysia – tiada Google Play Services. Seperti biasa, peranti Huawei akan memegang takhta dalam prestasi kamera terhebat dengan skor DxOMark tertinggi iaitu 121.

Mate 30 Pro hadir dengan skrin 6.53″ Flex OLED 2400×1176 pixel, rekaan Horizon Display, dijana Kirin 990 dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan 256GB. Kamera utama pula menggabungkan sensor 40MP (sudut lebar) + 40MP (sudut ultra lebar) + 8MP (telefoto 3x zum) + 3D. Kamera swafoto pula adalah 32MP. Bateri sebesar 4500mAh dengan sokongan sistem pengecasan pantas 40W dan pengecasan nirwayar sehingga 27W. Perlindungan adalah kalis air dan debu IP68 dan sekuriti adalah pengecaman wajah dan juga pengimbas cap jari bawah skrin.

Harga jualan peranti ini adalah RM3899 dan boleh dipra-tempah bermula pada 3 Oktober, iaitu hari ini. Pelanggan yang menempah awal akan menerima hadiah bernilai RM1,155, iaitu DJI Osmo Mobile 3 (RM499), Huawei Wireless In-Car SuperCharge (RM289), kerangka pelindung PU (RM68) dan Huawei Care (RM299).

Untuk Mate 30 pula, skrin adalah jenis rata sebesar 6.61″ OLED 2340×1080 pixel, takuk kecil, sekuriti hanya pengimbas cap jari bawah skrin dan dijana Kirin 990. Memori adalah 8GB RAM dan storan sebesar 128GB. Kamera utama Mate 30 adalah gabungan lensa 40MP (sudut lebar) + 16MP (ultra sudut lebar) + 8MP (telefoto zum 3x) dan kamera swafoto pula adalah 24MP. Untuk perlindungan, ia hanya mempunyai IP53 (percikan) dan bateri sebesar 4200mAh. Pengecasan pantas sama, 40W dan turut  menyokong pengecasan nirwayar 27W.

Harga jualan peranti ini adalah RM2799 dan boleh dipra-tempah bermula pada 3 Oktober juga.

Tidak cukup dengan hadiah bernilai RM1,155, Huawei turut menawarkan pelbagai lagi hadiah percuma melalui Huawei Members. Antaranya adalah tiket wayang GSC percuma, aiskrim Godiva percuma, tiket penerbangan MAS percuma dan banyak lagi.

Dengan ketiadaan Google Play Service dan hanya bergantung kepada Huawei Mobile Service, seperti Huawei App Gallery – adakah anda akan membelinya?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd