Google akan mengadakan acara khas pada 15 Oktober ini untuk melancarkan beberapa peranti terkini mereka. Namun begitu Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL adalah dua telefon pintar yang paling dinantikan kerana saban tahun ia dilihat sebagai peranti dengan kemampuan kamera terbaik. Rekaannya mungkin telah tertiris tetapi hanya hari ini spesifikasi pula diketahui menerusi laman 9to5Google.
Google Pixel 4 dilengkapi skrin 5.7″ FHD+ OLED 90Hz, dijana cip Snapdragon 855, cip Pixel Neural Core, memori 6GB RAM, storan sehingga 128GB, kamera utama 12+16 Megapixel dan bateri sebesar 2800 mAh. Sementara itu Google Pixel 4 XL pula dilengkapi skrin 6.3″ QHD+ OLED 90Hz dan bateri sebesar 3700 mAh. Spesifikasi lain adalah sama. Tidak seperti pengeluar lain, Google Pixel 4 hanya menyokong sistem telefoto tanpa lensa sudut ultra lebar.
Turut diketahui ialah kandungan kotak dengan setiap pembelian iaitu pengecas, kabel pengecas USB-C, penyesuai pantas, jarum SIM dan manual.