Cari @ Amanz

Komputer riba adalah peralatan elektronik yang perlu untuk tenaga kerja moden. Ia membolehkan tugasan dilakukan dalam perjalanan ke tempat kerja dan juga ketika santai di rumah. Terdapat ratusan model komputer riba di pasaran sekarang yang mensasarkan golongan profesional. Secara lazimnya ia dijual pada harga yang agak tinggi. Menerusi ThinkBook 13s, Lenovo cuba menghasilkan versi alternatif ThinkPad lebih mesra dompet dan lebih menarik perhatian pekerja milenial.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Lenovo ThinkBook 13s
Skrin 13.3″ IPS LCD HD penuh
Pemproses Intel Core i5-8265U
Grafik Intel UHD Graphics 620
RAM 8 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman 128GB M.2 SSD PCIe NVMe
Kamera 1 Megapixel
I/O 1 X USBC 3.1, 2 X UBS-A USB 3.1,
bicu audio
HDMI mini HDMI 1.4
Pembaca Kad Tiada
Imbasan Cap jari (Windows Hello)
SIM Tiada
Bateri 45 Wh
Harga Jualan Dari RM3,199

Komputer dilengkapi skrin 13.9″ (1920×1080 pixel) bernisbah 16:9 tanpa sokongan sesentuh dipadankan dengan pemproses Intel Core i5-8265U empat teras, memori sehingga 16GB DDR4, storan sehingga SSD 512GB NVMe PCIe dan grafik terbina Intel UHD Graphics 620. Aneh sekali sehingga kini ThinkBook 13s tidak ditawarkan dengan pilihan pemproses Intel generasi ke-sembilan dan ke-sepuluh.

Seperti ThinkPad, pengguna boleh menaiktaraf RAM, storan SSD dan kad WiFi. Sungguhpun begitu hanya satu slot sahaja untuk RAM dan SSD ditawarkan. Tiada ruang untuk storan HDD disertakan kerana ruang yang agak terhad. Untuk membuka panel bawah ThinkBook 13s, anda perlu mempunyai sebuah pemutar skru berkepala Torx.

Sebuah kamera web 1MP terletak pada bahagian atas skrin lengkap dengan sistem ThinkShutter. Menerusi ThinkShutter pengguna boleh menutup lensa kamera secara fizikal dengan hanya melongsorkan sebuah suis plastik pada bahagian atas. Ini adalah sebuah lagi fungsi dari ThinkPad yang dipinjam oleh ThinkBook bagi memastikan privasi pengguna terjamin. Tiada keperluan membeli pelekat untuk menutup lensa kamera seperti pada komputer riba yang lain.

Sepasang pembesar suara 2W talaan Harman digunakan lengkap dengan sokongan audio Dolby terletak pada bahagian bawah. Sebuah pengimbas cap jari terbina di dalam butang kuasa yang juga terletak bersebelahan papan kekunci. Ini ialah lokasi yang mudah untuk diakses sejurus selepas penutup dibuka. Kedudukan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari ini sama seperti pada Huawei MateBook X yang kami ulas tahun lalu.

Melengkapi spesifikasi ialah bateri sebesar 45W Watt yang dicas semula menggunakan port Slim Tip Lenovo yang berkepala empat segi. Bercakap tentang I/O komputer riba ini hadir dengan satu port USB-C Gen2, dua USB-A USB 3.1 Gen 1 dan satu bicu audio 3.5mm. Sungguhpun mempunyai port USB-C, ia tidak boleh mempunyai sokongan Thuderbolt 3 atau mengecas menerusinya.

Jumlah I/O yang ditawarkan ini adalah mencukupi dengan keperluan seharian. Malahan boleh kami katakan adalah banyak dengan pasaran sekarang dipenuhi komputer riba yang hanya dilengkapi port USB-C sahaja. Pengguna tidak perlu membeli penyesuai atau berlaku situasi penyesuai tertinggal di rumah. Jika ada satu kekurangan ialah tiadanya pembaca kad memori terbina.

Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka hanya sebesar 307.6 x 216.4 x 15.9 mm. Saiznya yang padat ini memudahkan ia dimasukkan ke dalam mana-mana beg galas tanpa masalah. Beratnya pula hanya 1.4kilogram yang tidak akan membebankan bahu walaupun ia disandang sepanjang hari. Saiz serta berat ThinkBook 13s adalah cukup baik bagi mereka yang perlu bekerja ketika di dalam kereta atau kabin pesawat yang kecil.

Rekabentuk

Rekaan ThinkBook 13s adalah amat kemas dan profesional. Kemasan pada model yang kami ulas adalah warna Mineral Grey pusam yang tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Tiada pilihan warna lain ditawarkan oleh Lenovo untuk komputer riba ini. Hanya terdapat logo ThinkBook yang besar serta Lenovo yang lebih kecil dapat dilihat pada panel penutup. Rekaan amat mimalis tetapi kami rasakan masih kelihatan bergaya untuk kegunaan di pejabat.

Pada bahagian bawah terdapat tiga pelapik getah yang memastikan komputer melekap pada permukaan meja. Ketiga-tiganya bersaiz agak besar dan memberikan cengkaman yang cukup baik. Dua kekisi pembesar audio pada bahagian sisi bawah bersama dengan satu lohong pengudaraan untuk sistem penyejuk.

Sebuah kekisi udara yang lebih besar terletak pada bahagian belakang yang menghembus udara panas keluar menerusi dua kipas yang disertakan. Kedudukan ini memastikan udara panas dialirkan jauh dari tubuh dan tangan pengguna yang mungkin menggunakan tetikus.

Sepasang engsel yang agak besar digunakan pada bahagian skrin. Ia adalah agak keras sehingga memerlukan dua tangan untuk membuka penutup. Engsel memberikan kebebasan skrin dibuka sehingga 180 darjah. Harus diakui kami tergolong di dalam spesis homosapiens yang menaip dapat kedudukan duduk dan skrin dengan darjah kebebasan yang besar ini memberikan kebebasan untuk kami melarasnya pada kedudukan yang lebih selesa.

Papan Kekunci

Papan kekunci yang digunakan adalah dari jenis chicklet berbentuk smiley yang direka oleh Lenovo. Rupa fizikal adalah sama seperti kekunci ThinkPad tetapi dengan jarak pergerakan menegak yang lebih pendek. Pihak Lenovo mengatakan ini akan memberikan keselesaan menaip seperti sebuah ThinkPad. Kami kurang bersetuju kerana pernah mengulas beberapa model ThinkPad sebelum ini.

Walaupun tidak sebaik kekunci ThinkPad, kekunci ThinkBook masih lagi selesa untuk tugasan menaip di pejabat. Kami boleh menaip dengan pantas dan selesa tanpa sebarang masalah selepas membiasakan jari selama lebih kurang sejam. DNA ThinkPad sekali lagi dapat dilihat dengan papan kekunci yang mempunyai ketahanan kalis percikan air sehingga 60cc. Ini mungkin tidak sebaik MIL STD 810G pada ThinkPad tetapi lebih baik dari tiada langsung.

Perkara positif yang kami boleh berikan ialah pergerakan kekunci adalah sekata dan tidak berjongket atau longgar seperti beberapa komputer riba yang kami pernah gunakan. Pergerakan yang sekata ini memastikan setiap tekanan dibaca dengan tepat sekaligus mengelakkan kesalahan menaip. Kesemua kekunci juga mempunyai sokongan lampu berwarna putih. Lampu tidak boleh dilaraskan keterangannya. Ia sama ada dihidup atau dimatikan sahaja.

Harus kami akui kami kurang berpuas hati dengan lampu papan kekunci yang agak malap. Apabila dihidupkan ia mungkin hanya setakat separuh keterangan papan kekunci MacBook Air yang kami miliki. Proses mencari sesetengah kekunci adalah sukar apabila menaip di dalam bilik yang gelap.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh menggunakan Windows Precision Driver dan kesemua gesture untuk Windows 10 disokong. Saiznya kami rasakan agak kecil dengan nisbah 16:9. Permukaannya pula adalah agak licin memudahkan pergerakan jari. Pad tidak mempunyai masalah untuk mengesan pergerakan jari di atas permukaannya.

Satu kekurangan yang perlu kami nyatakan ialah mekanisme klik yang agak lembut. Kerana saiz pad sesentuh yang kecil, kadang kala klik yang dilakukan secara tidak sengaja berlaku apabila jari sedang bergerak pada permukaan atasnya. Oleh sebab itu kami lebih selesa menggunakan sebuah tetikus dengan ThinkBook 13s, kerana mekanisme klik yang

Penggunaan

Kami menggunakan ThinkBook 13s selama seminggu ketika melakukan tugasan luaran. Pujian kami berikan pada saiznya yang kecil dan ia tidak berat. Ketika dibawa di dalam beg ia tidak membebankan. Walaupun saiznya kecil, proses menaip masih lagi selesa walaupun jika digunakan di atas riba. Terdapat ruang yang cukup besar untuk melabuhkan tangan ketika menaip. Tangan sentiasa pada kedudukan neutral dan tidak mengalami sebarang kesakitan walaupun ketika proses menaip yang agak panjang.

Satu perkara yang kami ingin puji ialah kepantasan ThinkBook 13s bangun dari mod Sleep. Skrin hidup hampir sekelip mata selepas penutup dibuka. Pengimbas cap jari juga mengesan jari dengan pantas untuk menyahkunci.

Pengurusan habanya juga baik kerana riba tidak terasa seperti dipanggang hidup-hidup. Deruan kipas juga tidak berapa kuat walaupun ketika menggunakan aplikasi yang memerlukan kuasa yang tinggi. Ini mungkin kerana kipas dan lohong udara menghembus ke belakang. Audio dari sistem penyejuk dihalang oleh skrin sepanjang masa.

Skrin memaparkan kandungan dengan terang apabila di dalam bilik yang gelap. Tetapi kami sedari paparan sedikit sukar untuk dilihat apabila di dalam bilik yang terang walaupun pada tetapan skrin yang tertinggi. Oleh sebab itulah kami cukup bersyukur engsel untuk skrin boleh berputar 180 darjah kerana ini membolehkan kami mengubah sudut skrin sehingga paparan dapat dilihat dengan lebih jelas.

Seperti kami katakan di atas, kelemahan paling ketara ThinkBook 13s terletak pada pad sesentuhnya yang bukan sahaja kecil tetapi dilengkapi mekanisme klik yang terlalu lembut. Kami banyak menggunakan perisian Adobe PhotoShop dan proses menyunting foto adalah leceh pada pad sesentuh ini. Kami amat menyarankan penggunaan tetikus jika anda bercadang menyunting dokumen pada ThinkBook 13s.

Penanda Aras

Pemproses Intel Core i5-8265U hadir dengan empat teras dan dipadankan dengan memori sebesar 8GB DDR4 pada model yang kami ulas. Proses boot up mengambil masa sekitar 7 saat sementara proses menghidupkan skrin dari mod tidur adalah hampir sekelip mata. Dari markah penanda aras di bawah jelas ThinkBook 13s bukanlah komputer riba untuk gaming dengan markah 3DMark yang rendah. Tetapi matrik ujian penanda aras PCMark10 yang dicatatkan adalah sedikit lebih tinggi berbanding MateBook X Pro. Skor GeekBench 5 pula juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan MacBook Air 2019 yang dijual pada harga yang jauh lebih tinggi.

Audio

Dua pembesar suara Harman menembak ke bawah. Umum diketahui dalam konfigurasi ini, audio yang baik hanya boleh dinikmati jika komputer riba diletakkan pada permukaan yang keras untuk memantulkan audio dengan baik. Jika diletakkan di atas riba, kualiti audio pembesar suara adalah kurang memuaskan.

Pada permukaan meja pula kualiti audio meningkatkan ke tahap sederhana. Walaupun dengan sokongan Dolby, kami merasakan audio yang dihasilkan tidak memenuhi piawaian peribadi kami. Pada tetapan tertinggi ia tidak cukup lantang dan sedikit pecah. Audio mula berkecamuk pada tetapan tertinggi ini.

Audio yang dihasilkan sedikit rata dan kurang bertenaga. Treble memuaskan tetapi bass tidak berjaya mendentumkan koklea telinga. Malah kami rasakan adalah lebih sedap mendengar muzik pada ThinkBook 13s jika menggunakan sepasang fon telinga yang berkualiti baik.

Pada hemat kami kualiti audio MateBook X Pro adalah yang terbaik bagi komputer riba Windows 10. Tetapi audio terbaik baik komputer riba untuk kegunaan pejabat pula masih lagi dipegang oleh MacBook Air 2018 yang kami rasakan lebih dinamik, jelas dan lantang.

Bateri

Bateri 45Wh diiklankan dengan kemampuan bertahan sehingga 10 jam tanpa henti. Tetapi dalam penggunaan dunia sebenar secara purata kami hanya berjaya menggunakan ThinkBook 13s selama tujuh jam dengan sekali caj. Ini adalah dengan skrin pada tahap keterangan sederhana tinggi, disambung kepada WiFi sepanjang masa dan menstrim audio pada waktu yang sama. Hayat bateri ini adalah memuaskan bagi kegunaan tugasan di luar pejabat dan setaraf majoriti komputer riba di dalam kelas yang sama.

Pengecasan semula dilakukan dengan sebuah pengecas 65W dengan kepala Slim Tip Lenovo yang berbentuk empat segi. Sekali lagi ingin kami nyatakan kekecewaan komputer riba ini tidak menyokong pengecasan USB-C. Proses pengecasan semula juga adalah lama iaitu sekitar 2 jam 45 minit.

Kesimpulan

Secara peribadi kami tergolong di dalam kumpulan yang meletakkan ThinkPad sebagai komputer kerja profesional yang terbaik di pasaran kerana kombinasi pemproses yang baik, papan kekunci yang terbaik di dalam kelas dan tahap ketahanan yang melepasi gred ujian ketenteraan.

Sungguhpun begitu kami sedari rekaan ThinkPad yang tidak banyak berubah lebih 25 tahun di pasaran tidak dilihat sebagai menarik oleh golongan muda. Bagi golongan anak muda, ThinkPad ialah komputer profesional untuk orang-orang tua yang tidak cool.

Oleh sebab itu ThinkBook 13s dilancarkan untuk golongan profesional milenial yang mahukan sebuah komputer riba kerja yang kelihatan bergaya tetapi masih mampu diandalkan untuk tugasan kerja harian. DNA ThinkPad walau bagaimanapun masih dapat dilihat pada ThinkBook 13s.

Ia dilengkapi papan kekunci yang selesa digunakan untuk tugas menaip lengkap dengan kemampuan kalis percikan air. Rekaan tubuhnya juga mantap dan ringan. Bahu pengguna tidak akan rasa terbeban walaupun jika mereka perlu membawa komputer riba ini kemana-mana sahaja.

Rekaan fizikalnya juga lebih moden, sesuai dengan golongan sasaran yang memerlukan komputer riba kerja yang bergaya. Ini semua dilakukan dengan masih mengekalkan port-port penting seperti USB-C, USB-A dan HDMI.

Komponen dalaman seperti RAM, SSD dan WiFi juga boleh diganti sendiri oleh pengguna apabila ia sudah sedikit berusia. Ini membolehkan ia bertahan lebih lama kerana kesemua komponen ini tidak dipateri kepada papan induk.

Dengan cip Intel Core i5-8265U dan 8GB RAM, kami dapat melakukan pelbagai kerja tanpa sebarang masalah. Ketahanan bateri juga adalah setanding dengan komputer riba lain di dalam kelasnya. Di Malaysia Lenovo ThinkBook 13s dijual pada harga bermula dari RM3,199 (8GB/256GB/Core i5) sebuah dan meningkat ke RM4499 (16GB/512GB/Core i7/GPU AMD RADEON 540X). Kami tiada masalah menyarankan ThinkBook 13s kepada mereka yang memerlukan sebuah komputer riba kerja yang berkuasa, lengkap dengan I/O asas, bergaya dan mudah dibawa kemana sahaja.

PRO dan Kelebihan
  • Spesifikasi yang baik. Tiada masalah melakukan pelbagai tugasan pejabat.
  • Dapat digunakan dengan pantas sejurus selepas penutup dibuka.
  • Berfungsi dengan senyap tanpa gangguan deruman kipas penyejuk yang mengganggu kerja.
  • Berfungsi dengan sejuk selesa digunakan di atas riba.
  • Papan kekunci yang selesa digunakan untuk menaip dengan lama.
  • Papan kekunci kalis percikan air.
  • Pilihan port yang lengkap. Tidak perlu penyesuai.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada port Thunderbolt 3.
  • Tiada sokongan skrin sesentuh.
  • Pemproses masih lagi generasi ke-lapan. Masih tiada penawaran cip generasi ke-sepuluh Ice Lake.
  • Pengecasan hanya boleh dilakukan menggunakan port Slim Tip.
  • Pad sesentuh yang mengecewakan.
  • Skrin yang tidak cukup terang dengan masalah silau.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd