Cari @ Amanz

Volvo XC40 Recharge dilancarkan sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya pertama dari Volvo. Sebelum ini mereka menghasilkan kenderaan hibrid dan juga kenderaan elektrik sepenuhnya di bawah sub jenama Polestar. Dengan pelancaran XC40 Recharge, Volvo mengambil langkah pertama untuk merealisasikan sasaran menghasilkan hanya kenderaan elektrik menjelang 2025.

Kereta ini dilengkapi motor elektrik dengan 402 kuasa kuda dan bateri sebesar 78 kWh yang memberikan jarak operasi sehingga 400km. Dengan pengecasan pantas, bateri boleh dicas sehingga 80% dalam masa 40 minit. Kerana tiada lagi enjin di bahagian hadapan, bahagian kekisi hadapan digantikan degan panel tanpa lohong udara. Ruang enjin kini diubah menjadi tempat simpanan beg,

Model elektrik XC40 ini sebenarnya lebih dua kali lebih berkuasa model asas berkuasa petrol yang dipasarkan selama ini. Memandangkan ia sebuah kereta Volvo, ia turut dilengkapi pelbagai sistem keselamatan selari dengan falsafah mereka yang ingin melancarkan kenderaan kalis maut menjelang 2020.

Terdapat pelbagai sut sensor disertakan bagi membolehkan mod swapandu diaktifkan. Sistem infohiburnya pula menggunakan Android sepenuhnya. Pengguna boleh mengawal dengan arahan suara Google Assistant. Aplikasi Android boleh dimuat turun menerusi Play Store terbina. Kesemua aplikasi yang digunakan pada telefon pintar bolah dipasang pada kenderaan pintar ini.

Pada waktu ini Volvo masih belum mengumumkan tarikh atau harga jualan untuk XC40 Recharge.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd