Bytedance, syarikat yang popular dengan aplikasi sosial TikTok, sebelum ini telah mendapatkan sejumlah paten daripada salah satu pengeluar telefon pintar di China, iaitu Smartisan. Lanjutan daripadanya, mereka turut mengesahkan pada bulan Julai lepas yang mana mereka sedang membangunkan sebuah telefon pintar.
Kini, telefon pintar berkenaan telah pun dilancarkan secara rasmi di China, dimana ia dikenali dengan nama Jianguo Pro 3.
Jianguo Pro 3 hadir dengan spesifikasi yang tinggi – termasuk menggunakan cip Snapdragon 855+, memori sehingga 12GB RAM, bateri 4000mAh, dan dijana dengan empat kamera belakang dengan kamera utama 48-megapixel.
Menariknya juga, ia menyertakan akses pantas untuk Douyin (variasi TikTok di China), dimana pengguna boleh mengaksesnya terus daripada skrin kekunci. Sejumlah kesan penuras khas daripada aplikasi TikTok juga turut diintegrasikan pada aplikasi kamera telefon pintar ini – sekaligus membolehkan pengguna menggunakan kesan khas berkenaan pada video yang panjang dan tidak terhad seperti pada TikTok.
Buat masa ini, telefon pintar ini dilihat menyasarkan pasaran China sahaja. Ia ditawarkan pada harga bermula RMB2699, iaitu sekitar RM1600.