YouTube Music Premium : Berbaloi Atau Tidak?

YouTube Music Premium : Berbaloi Atau Tidak?

Diterbitkan pada November 11, 2019 oleh .

Pasaran perkhidmatan penstriman audio menjadi semakin sengit dengan pelancaran YouTube Music di Malaysia minggu ini. Seperti biasa apabila perkhidmatan baharu dilancarkan pasti ramai tertanya-tanya adakah berbaloi untuk ia dilanggan? Bagi yang masih masih ragu-ragu, artikel ini mungkin akan dapat membantu anda.

Kandungan

Terdapat jutaan lagu yang boleh distrim menerusi YouTube Music. Dari apa yang dapat kami lihat pada waktu ini katalog lagu dari artis rasmi adalah setanding dengan yang ditawarkan oleh Spotify tetapi tidak selengkap yang Apple Music. Apa yang menarik ialah YouTube Music juga menawarkan penstriman muzik dari peminat dan yang disadur. Ini adalah kerana audio dari kesemua video yang dimuat naik ke YouTube boleh distrim juga pada YouTube Music.

Ini bermakna lagu dari album yang tidak boleh ditemui di Spotify atau Apple Music masih boleh didengari. Contoh terbaik ialah muzik dari penyanyi Aaliyah dan Prince yang dihalang dari ditawarkan ke platform penstriman muzik masih boleh anda dengari “secara halal” walaupun secara teknikalnya haram kerana tidak mendapat kebenaran pemegang harta intelek.

Disamping itu anda juga boleh menstrim audio dari konsert Butterfingers 20 Tahun Trancendence walaupun album rasmi masih belum diterbitkan. Cover-cover lagu terkini juga dapat anda nikmati kerana audio ditarik terus dari video yang dimuat naik ke YouTube.

Ini ialah grey area di YouTube Music. Dari sudut pandangan undang-undang ia adalah salah tetapi sebagai peminat anda masih ingin mendengar muzik dari artis kegemaran. Jika anda tidak peduli menstrim kandungan haram (seperti saya menstrim album 1.2 Miligrams Butterfingers yang tidak ditawarkan secara rasmi) anda masih boleh menstrimnya menggunakan YouTube Music.

Kandungan Tempatan

Seleksi artis tempatan adalah baik. Situasinya sama seperti penawaran album pada platform penstriman lain. Cuma kami kecewa kerana ia adalah amat berserabut. Sebagai contoh jika anda mencari lagu M.Nasir anda mungkin hanya menemui 4 album. Sebenarnya kesemua album solo M.Nasir wujud di YouTube Music cuma sebahagiannya disenaraikan di bawah nama M.  Nasir. Ya terdapat satu ruang kosong pada nama M. Nasir. Masalah yang sama turut berlaku kepada Butterfingers. Album dari kumpulan Butterfingers versi Australia turut disenaraikan sekali. Ini tidak berlaku di Spotify dan Apple Music.

Pihak YouTube Music seharusnya lebih teliti dalam menyusunkan diskografi yang tepat untuk setiap artis terutamanya yang mempunyai nama yang sama. YouTube Music bukan syarikat permulaan yang tidak mempunyai dana. Mereka adalah syarikat di bawah payung gergasi Alphabet. Kesilapan seperti ini tidak boleh dimaafkan.

Aplikasi

Terdapat aplikasi untuk telefon pintar Android dan iOS. Ketika artikel ditulis masih tiada aplikasi desktop untuk Windows 10 atau macOS. Bagi pengguna telefon pintar, aplikasi khas juga tidak ditemui pada Android TV atau televisyen pintar Samsung yang kami uji. Jika anda mempunyai televisyen pintar berita baik ialah muzik dari boleh dimainkan ke TV tetapi menerusi aplikasi YouTube.

Antaramuka aplikasi YouTube Music adalah minimalis dan mudah difahami. Malahan lebih banyak persamaan berbanding perbezaan pada pemain muzik YouTube Music, Apple Music dan Spotify. Ikonografi serta ciri yang sama (membuka Radio dan menyusun lagu dalam senarai main) disertakan. Jika anda pernah menggunakan perkhidmatan penstriman muzik yang lain anda pasti tiada masalah menggunakan aplikasi YouTube Music.

Tetapi pada waktu ini ada beberapa elemen antaramuka yang kurang kami gemari. Pertama sekali ialah butang ulang dan shuffle tersorok. Skrin perlu ditatal untuk menunjukkan dua ikon ini. YouTube Music juga gemar mencampur adukkan kandungan muzik dan video pada skrin yang sama. Kandungan yang disarankan juga agak banyak sehingga berkecamuk. Dari sudut positif ini mungkin bagi memudahkan pencarian artis yang relevan. Kami harus akui antaramuka yang digunakan sekarang kelihatan agak semak kerana terlalu banyak saranan yang diberikan.

Lontaran Kandungan

Kandungan muzik boleh dilontar kepada pelbagai peranti yang menyokong Chromecast dan AirPlay 2. Pada televisyen pintar Samsung misalnya kandungan yang dilontar akan dimainkan di dalam aplikasi YouTube. Pada waktu ini aplikasi khas YouTube Music masih belum ditawarkan pada televisyen pintar termasuk platform Android TV milik Google.

Adalah aneh sehingga kini ia masih belum ditawarkan. Sungguhpun begitu aplikasi-aplikasi ini kami diberitahu sedang dibangunkan selepas YouTube Music menerima maklum balas yang diberikan pengguna sejak ia dilancarkan.

Lontaran ke speaker pintar Google juga boleh dilakukan. Kami berjaya mengujinya pada Google Nest Hub, Google Nest Mini dan Google Home. Kami difahamkan Apple HomePod juga disokong tetapi kami tidak dapay mengujinya secara peribadi. Namun begitu satu platform yang tidak disokong ialah pembesar suara Bose. Kami mempunyai soundbar Bose di pejabat dan audio tidak boleh dilontar. Bose hanya menyokong Spotify dan Apple Music sahaja pada waktu ini.

Kualiti Audio

Audio boleh distrim pada tiga tetapan kualiti iaitu Low (48kbps HE-AAC), Normal (128kbps ACC) dan High (256kbps AAC). Ini adalah lebih rendah berbanding Spotify (320kbps), Deezer Premiun (320kbps), Deezer HiFi (1411kbps FLAC) dan Tidal HiFi (1411 kbps FLAC).

Secara default muzik ditstrim pada tetapan Normal. Anda perlu mengubahnya secara manual pada skrin tetapan. Secara peribadi perbezaan audio di antara Spotify, Apple Music dan YouTube tidak akan anda sedar melainkan anda memiliki sistem audio yang baik dengan muzik yang telah dimuat turun.

Mengikut telinga kami kualiti audio Tidal FLAC adalah yang terbaik tetapi jumlah muzik yang ditawarkan pada resolusi tinggi ini adalah kecil. Ini diikuti pula oleh Spotify, Apple Music dan akhir sekali YouTube. Kualiti audio YouTube juga tidak konsisten jika ia diambil dari video yang dimuat naik.

Muat Turun Lagu

Kesemua kandungan boleh dimuat turun tanpa had selagi terdapat storan yang mencukupi pada peranti. Ini meletakkan YouTube Music setanding dengan Apple Music. Spotify dan Tidak menghadkan setakat 10,000 lagu sahaja boleh dimuat turun pada pelbagai peranti pada satu-satu masa.

Satu fungsi menarik yang ingin kami ketengahkan pada YouTube Music ialah OfflineMixtape. Offine Mixtape memuat turun lagu berdasarkan lagu yang pernah distrim oleh pengguna secara automatik. Algoritma Mixtape akan mencari lagu yang mungkin ingin anda dengari bersesuaian dengan citarasa mereka sebelum ini.

Penstriman Percuma

YouTube Music masih boleh digunakan walaupun tanpa langganan seperti Spotify. Perbezaannya adalah anda bebas menstrim lagu yang ingin dedengari dengan iklan akan dimainkan setiap 4-5 lagu. Iklan yang dipaparkan adalah dalam bentuk video sama seperti di YouTube. Seperti di YouTube iklan boleh dilangkau selepas beberapa saat.

Perkhidmatan percuma ini walau bagaimanapun tidak membenarkan pengguna memuat turun atau menstrim audio apabila peranti dikunci dan aplikasi ditukar. Ini mungkin satu lagi kelebihan YouTube Music. Deezer dan Spotify misalnya mengehadkan lagu yang boleh didengar. Apple Music pula langsung tidak menawarkan perkhidmatan percuma.

Harga Langganan Berbanding Pesaing

Harga langganan bulanan adalah seperti di bawah. YouTube Music untuk pelajar kami difahamkan akan diumumkan minggu hadapan.

  • YouTube Music – RM14.90 Individu/RM22.90 keluarga (6 pengguna)
  • Spotify– RM14.90 individu/RM22.90 keluarga (6 pengguna)
  • Apple Music – RM14.90 individu/RM22.90 keluarga (6 pengguna)/RM6.90 pelajar
  • Deezer – RM14.90 individu/RM22.35 keluarga (6 pengguna)/HiFi RM29.99
  • Tidal – RM14.90 individu/RM22.35 keluarga (6 pengguna)/HiFi RM29.80

Jadi Berbaloi Atau Tidak?

Berbaloi ataupun tidak bergantung kepada apa yang anda inginkan. Jika katalog lagu yang besar, tiada had muat turun lagu dan enjin carian terbaik pada perkhidmatan penstriman muzik adalah perlu, YouTube Music kami rasakan adalah berbaloi untuk anda. Kekurangan terletak pada kualiti audio tidak sekata, katalog yang bercelaru untuk kandung tempatan dan aplikasi dengan antaramuka yang agak berserabut berbanding pesaing.

Seperti yang anda dapat lihat di atas, harga langganan untuk kesemua perkhidmatan penstriman di Malaysia adalah setanding. Oleh itu pilihlah yang boleh menawarkan halwa yang terbaik untuk telinga anda.


TIPS & ULASAN