Kemampuan siaran pada resolusi 4K diperlihatkan oleh Astro tahun lalu. Pada waktu tersebut siaran 4K hanya ditawarkan pada beberapa restoran sebagai cara mengukur minat pengguna kepada perkhidmatan ini. Kemudian tahun ini kotak TV Astro Ultra Box mula ditawarkan kepada pelanggan yang ingin menjadi penguji Beta. Semalam tirai akhirnya diangkat dan Ultra Box dilancarkan secara rasmi untuk pelanggan Astro.
Kami bernasib baik kerana sudah menggunakan perkhidmatan ini sejak seminggu lalu. Ini ialah pandangan ringkas kami mengenai perkhidmatan TV satelit berbayar pada resolusi 4K pertama di Malaysia. Pasti ramai di kalangan pembaca yang inginkan jawapan kepada persoalan. Ok ke 4K?
Kotak TV Ultra Box
Kotak TV Ultra Box mempunyai saiz fizikal yang 60% lebih kecil berbanding kotak B.yond dengan DVR terbina sebelum ini. Saiznya yang lebih kecil memudahkan ia disorok atau dimuatkan pada meja TV yang bersaiz kecil. Akui sahaja kotak TV Astro sebelum ini adalah terlalu besar sehingga tidak kelihatan menarik.
Jika kotak TV B.yond secara harfiah adalah berbentuk kotak. Ultra Box pula adalah berbentuk bulat seperti segumpal Roti Boy. Penggunaan nama Box di sini adalah kurang tepat kerana diskus lebih sesuai. Tetapi di Amanz kami tidak mahu berdebat hal semantik yang tidak penting.
“Ultra Roti Boy” mempunyai saiz lebih kecil kerana ia tidak lagi mempunyai storan fizikal seperti B.yond. Cakera keras digantikan kesemuanya dengan storan awanan. Ini membolehkan pengguna merakam pelbagai kandungan dari pelbagai saluran secara serentak. Sebelum ini hanya dua kandungan boleh direkod ke dalam storan fizikal kotak TV. Kandungan yang dirakam ini boleh ditonton semula dari Ultra Box atau aplikasi Astro Go pada bila-bila masa. Kami akan bercakap lebih panjang lebar mengenai storan awanan di dalam segmennya tersendiri di bawah.
Ultra box mempunyai butang kuasa dan butang pemadan alat kawalan jauh pada sisi kanan. Di hadapan terdapat lampu berwarna ungu yang menyala apabila ia dihidupkan. Ia akan berubah ke warna oren apabila dimatikan. Tiada sebarang paparan LCD seperti pada kotak TV terdahulu. Turut tidak lagi wujud ialah butang kawalan fizikal untuk melakukan navigasi dan mengakses pelbagai menu. Satu-satunya cara untuk mengawal antaramuka Astro adalah menerusi alat kawalan jauh yang juga hadir dengan rekaan baharu.
Ketiadaan butang kawalan fizikal pada Ultra Box akan pasti dirindui pelanggan Astro semasa. Kami sendiri kerap kali kehilangan alat kawalan jauh kerana disorokkan oleh anak yang berkeras ingin menonton Nickelodeon (Spongebob ialah candu kanak-kanak pra-sekolah) sedangkan kami ingin menonton bola sepak. Ramai ibu bapa mempunyai dua alat kawalan jauh untuk mengatasi masalah ini tetapi memandangkan Ultra Box masih baru, mencari alat kawalan sandaran adalah sukar.
Bergerak ke sisi kiri terdapat slot untuk kad SIM dan slot kad mikroSD. Kami difahamkan slot kad SIM ini menggantikan Smart Card. Ia bersaiz lebih kecil selari dengan pengecutan saiz kotak TV ini sendiri.
Akhir sekali pada bahagian belakang terdapat dua port USB-A, LAN, S/PDIF, kabel satelit, kuasa dan HDMI. Hanya satu kabel satelit diperlukan kali ini. Ini membolehkan Ultra Box digunakan dalam bangunan kondo/apartmen yang berkongsi satu piring satelit Astro.
Alat Kawalan Jauh
Di segmen di atas, kami memuji rekaan kotak Ultra Box yang lebih padat dan tidak lagi mencacatkan estetik ruang tamu. Tetapi pujian tidak boleh kami berikan pada alat kawalan jauh yang diberikan. Ia terlalu berkotak sehingga tidak selesa di dalam tangan. Alat kawalan B.yond adalah jauh lebih ergonomik dengan bahagian sisi dan belakang yang dibulatkan.
Butang-butang diperbuat daripada bahan getah tetapi sekali lagi tidak selembut yang ditemui pada butang B.yond. Kami merasakan Ultra Box cuba memimik alat kawalan jauh Apple TV tetapi kurang berjaya. Maaf kami katakan ia terasa murah jika dibandingkan dengan alat kawalan lama atau televisyen pintar lain di pasaran.
Jumlah butang juga berkurangan dengan tiada lagi butang kawalan pemain vide0o. Semasa menonton kandungan VOD, anda perlu menekan butang OK terlebih dahulu. Pemain akan muncul pada skrin dan anda kemudian menggunakan D-Pad untuk mengawal video. Ini bukanlah cara mengawal video yang paling mesra pengguna di pasaran
Penggunaan Dan Antaramuka Ultra Box
Antaramuka Ultra Box adalah sama seperti yang ditemui pada aplikasi dan laman Astro Go. Astro menyeragamkan antaramuka bagi memberikan pengalaman penggunaan perkhidmatan yang sama pada pelbagai peranti. Kami lebih menyukai antaramuka ini kerana lebih mesra pengguna. Terdapat pelbagai pintasan pantas dengan kategori yang lebih jelas. Mengakses kesemua kandungan juga lebih pantas tidak seperti antaramuka terdahulu yang mempunyai reputasi berkelajuan seperti glacier.
Kandungan yang paling hangat yang ditawarkan Astro akan dipaparkan pada baris utama. Saluran yang kali terakhir ditonton pula diletakkan pada baris kedua diikuti oleh baris yang menunjukkan kandungan VOD yang telah distrim. Secara keseluruhan antaramuka ini adalah mirip dengan antaramuka perkhidmatan penstriman seperti YouTube dan Netflix.
Mungkin ini disengajakan kerana menurut Astro terdapat 50,000 kandungan yang boleh distrim menggunakan sistem VOD mereka. Mengikut pepatah Inggeris if you can’t beat them, join them. Perkhidmatan penstriman ialah pesaing Astro sejak kebelakangan ini dan dengan antaramuka yang hampir sama pengguna tidak perlu belajar untuk menggunakan perkhidmatan VOD mereka.
Mencari kandungan juga lebih mudah kerana penggunaan papan kekunci QWERTY pada skrin. Pada antaramuka dahulu proses mencari kandungan adalah memeritkan kerana anda perlu mengeja menggunakan kekunci T9 pada butang alat kawalan jauh. Bayangkan pada tahun 2019 anda cuba mencari Lord of The Rings dan mengeja seperti menggunakan papan kekunci Nokia 3310.
Fungsi paling berguna Ultra Box ialah Play From Start. Anda boleh menonton kesemua saluran Astro dari permulaan walaupun terlepas minit-minit awal. Pada bahagian alat kawalan jauh kami menyebut masalah anak yang ingin menonton Sponge Bob sedangkan kami ingin menonton siaran langsung Liga Perdana Inggeris.
Dengan Play From Start kami boleh membiarkan anak menonton Sponge Bob sehingga habis sebelum menukar ke saluran Astro Supersports HD. Kami sudah terlepas 15 minit kerana memenuhi permintaan anak. Dengan hanya menekan satu butang, perlawanan ditonton dari awal. Sebelum ini kami perlu memastikan saluran direkod terlebih dahulu tetapi kerap kali terlupa.
Ia juga amat berguna sekiranya anda terlepas siaran langsung kerana gangguan hujan. Dukacita dimaklumkan Ultra Box masih tidak menyelesaikan masalah turun temurun ini.
VOD – Penstriman Gaya Astro
Penstriman kandungan kini jauh lebih pantas kerana ia tidak perlu dimuat turun terlebih dahulu ke dalam kotak TV. Secara purata ia memakan masa sekitar tiga saat selepas kandungan dipilih dimainkan pada skrin TV. Kepantasan penstriman adalah amat bergantung kepada kelajuan Internet di rumah. Oleh itu Astro menetapkan kelajuan minimum 10Mbps untuk menikmati pengalaman penggunaan yang lancar.
Seperti Netflix, kami menyedari pada awalnya gambar yang distrim mempunyai kualiti visual beresolusi tinggi sebelum secara perlahan-lahan visul beresolusi lebih tinggi distrim. Pada waktu ini kandungan penstriman yang ditawarkan adalah dalam resolusi FHD sahaja dan bukannya 4K.
Komen negatif tentang penstriman kandungan Astro ialah antaramuka pemain videonya yang canggung untuk digunakan. Tiada butang main/jeda atau melangkau kedepan/kebelakang selama beberapa saat. Kedua-dua fungsi kami kategorikan sebagai perlu pada tahun 2019. Pengguna sekadar diberikan fungsi kedepan/kebelakang sehingga kelajuan 64X tanpa imej prebiu thumbnail. Kekurangan ini kami percaya boleh dibaiki dengan kemas kini perisian dalam masa terdekat.
Kualiti visual adalah memuaskan tetapi kabur sedikit jika dibandingkan dengan saluran 780 yang menawarkan kandungan 4K pada Ultra Box. Ia juga amat bergantung kepada televisyen yang anda gunakan. Setiap pengeluar mempunyai sistem sendiri melakukan proses upscaling kandungan FHD ke 4K.
Kandungan 4K
Hanya satu saluran menawarkan kandungan 4K secara langsung dengan dua saluran Astro Best lagi adalah untuk kandungan berbayar. Perbezaan kualiti visual adalah amat ketara. Majoriti kandungan yang kami tonton sejak seminggu lalu adalah perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris. Visual lebih terang, padang rumput adalah lebih tajam dan keperincian pada kulit adalah lebih jelas. Terasa seakan menonton langsung dari dalam stadium.
Tetapi dengan hanya satu saluran 4K, kandungan yang ditawarkan adalah amat terhad. Sebagai perbandingan ketika B.yond dilancarkan sedekad yang lalu, Astro menawarkan empat saluran iaitu Astro Supersports HD, HBO HD, History Channel HD dan Discovery HD. Lebih banyak saluran 4K dijanjikan oleh Astro tetapi tiada tarikh tetap bilakah ini akan dilakukan. Seperkara lagi fungsi Play From Start dan rakaman kandungan pada resolusi 4K tidak boleh dilakukan pada waktu ini.
Storan Awanan
Setiap pelanggan menerima storan awanan 200 jam kandungan secara percuma. Kandungan yang direkod ini kemudian boleh distrim pada Ultra Box, pelayar web atau aplikasi peranti pintar. Berita kurang enaknya pula ialah tiada lagi storan fizikal pada Ultra Box. Internet diperlukan untuk menonton kandungan yang disimpan di awanan. Jika 200 jam tidak mencukupi, Astro menawarkan storan 400 jam pada harga RM12 sebulan dan 1500 jam pada harga RM15.
Kesimpulan
Selepas seminggu kami merasakan penambahbaikan yang ditawarkan oleh Ultra Box adalah lebih banyak berbanding kekurangan. Jika penaiktarafan dilakukan semata-mata untuk menikmati kandungan 4K anda mungkin akan kecewa. Nilai sebenar Ultra Box ialah antaramuka yang lebih pantas, lancar, mesra pengguna, storan awanan dan Play From Start. Kami memerlukan masa seminggu lagi untuk menilai Ultra Box. Nantikan ulasan penuh Amanz dalam masa terdekat.