Redmi K30 adalah peranti 5G pertama dari Redmi. Ia akan dilancarkan pada tahun 2020 dan mungkin akan dijual pada harga yang lebih murah. Minggu ini Qualcomm telah melancarkan beberapa cip pemproses baharu, dah mereka telah mengesahkan yang Redmi K30 akan dijana dengan Snapdragon 765.
Di China, Xiaomi telah berkongsi beberapa maklumat lain mengenai peranti ini. Antaranya adalah, ia akan menyokong rangkaian 5G SA dan juga NSA. Kemudian, bateri yang digunakan adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas Fast Flash Charge 30W. Ia adalah sistem pengecasan baharu kendiri yang boleh mengecas sehingga 100% dalam masa 1 jam.
Rekaan pula dilihat menggunakan sedikit rekaan Mate 30 Pro. Di belakang ada lingakaran bulat dan di dalamnya adalah modul kamera menegak. Redmi K30 dikatakan akan menggunakan pengimbas cap jari di sisi dan tidak lagi bawah skrin seperti Redmi K20. Peranti ini juga akan menggunakan skrin berlubang seperti S10+. Maklumat lanjut mengenai peranti ini, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya tidak lama lagi.