Bulan lepas, Oppo telah mengacah peranti 5G mereka yang baharu – iaitu Oppo Reno3 5G. Dari rekaan yang diperlihatkan, peranti ini mungkin adalah peranti 5G paling nipis. Dari apa yang diperlihatkan dalam imej yang lepas, peranti mempunyai sedikit elemen rekaan peranti Samsung.
A first look at the full rear side of OPPO Reno3 Pro 5G. Thoughts? 👀 pic.twitter.com/V8yknOzFof
— Brian Shen (@BrianShenYiRen) December 9, 2019
Terkini, wakil Oppo telah memperlihatkan lagi imej pengolokan peranti ini melalui satu video pendek. Kali ini, ia mengesahkan beberapa butiran peranti. Peranti ini akan menggunakan sistem kuad-kamera dengan bonjol yang agak tebal. Kemudian, skrin dilihat adalah jenis yang melengkung. Melengkapkan rekaan ini adalah, imej pengolokan yang tertiris. Skrin dilihat bukan sahaja melengkung, tetapi skrinnya juga tiada takuk dan kamera pop-naik. Skrin yang digunakan kemungkinan besar adalah jenis OLED dan skrin berlubang untuk kamera swafoto.
Butiran tertiris lain adalah, peranti ini akan dijana Snapdragon 765G untuk variasi Pro dan tebal peranti adalah 7.71mm sahaja. Bagi variasi bukan Pro, ia dikatakan akan dijana dengan cip MediaTek 5G MTK6885 dan mempunyai tebal sekitar 7.96mm. Peranti ini dikatakan akan dilancarkan pada 26 Disember kelak. Jika benar ini adalah tarikh pelancaran, ini bermakna dalam tahun ini sahaja sudah tiga generasi peranti Oppo Reno. Dari Reno, Reno2 dan kini Reno3. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.