Antara strategi pemasaran Samsung ialah menghasilkan peranti mercu dengan dua pemproses berbeza bergantung kepada pasaran. Secara tradisinya negara Eropah dan Asia seperti Malaysia akan menerima model dengan cip Exynos buatan Samsung. Amerika Syarikat dan China pula menerima model degan cip Snapdragon. Pada tahun hadapan ini mungkin akan akhirnya diubah apabila Galaxy S11 dilancarkan.
Menurut laporan The Elec, Galaxy S11 yang menggunakan pemproses Snapdragon 865 akan akhirnya ditawarkan di luar pasaran Amerika Syarikat, Amerika Latin, China dan Jepun. Peranti dengan pemproses Exynos 990 mungkin akan hanya dipasarkan di Eropah. Sebab tindakan ini diambil ialah kerana prestasi Exynos 9830 (juga dikenali sebagai Exynos 990) yang ketinggalan di belakang Snapdragon 865. Tidak seperti Snapdragon 865 yang menggunakan cip Cortex 585 (berasaskan Cortex A77) pada teras utama, Exynos 9830 menggunakan cip M5 (yang berasakan Cortex A76) pada teras utama.
Selain kuasa memproses yang lebih tinggi, pemproses keluaran Qualcomm mempunyai tahap penggunaan bateri serta pengeluaran haba yang lebih baik. Tahun ini hanya Galaxy Fold dijual di Malaysia dengan cip mercu Snapdragon 855. Mungkinkah akhirnya pengguna Malaysia akan dapat menggunakan cip terbaik Snapdragon pada peranti tempatan? Kita tunggu dan lihat.