Carian
Google Maps Telah Memetakan Lebih 16 Juta Kilometer Jalan Raya Dunia
December 16, 2019 Effi Saharudin

Dua belas tahun yang lalu, Google Maps memperkenalkan ciri Street View yang membolehkan gambar sebenar lokasi dilihat terus dari aplikasi. Ini ialah ciri yang kerap kami gunakan apabila pergi ke lokasi yang tidak pernah dilawati sebelum ini. Hujung minggu lalu Google Maps mengumumkan mereka telah memetakan lebih 16 juta kilometer jalan raya di dalam Street View.

Ini adalah bersamaan dengan lebih 400 kali ganda panjang garisan Khatulistiwa. Imej yang dirakam dari Street View telah digunakan bagi memudahkan sistem navigasi realiti terimbuh yang diperkenalkan tahun ini mencari lokasi dengan lebih tepat. Google Earth pula telah memetakan lebih 93 juta kilometer persegi permukaan bumi pada resolusi tinggi sejak memulakan operasi pada tahun 2001. Ini bersamaan dengan 98% permukaan bumi semasa. Data yang dikumpul membolehkan Google menjejak perubahan muka bumi tahun demi tahun.

Komen