Sudah ada beberapa kereta swapandu yang sedang melakukan ujian besar-besaran seperti di Singapura misalnya. Sempena Piala Dunia 2022, van elektrik swapandu Volkswagen ID.Buzz Kombi pula akan beroperasi di negara Timur Tengah ini. Di bawah Project Qatar Mobililty ini, 35 van swapandu yang boleh menempatkan empat orang penumpang akan beroperasi di bandaraya Doha.
Dengan kemampuan swapandu Tahap 4, ia boleh beroperasi tanpa sebarang pemandu manusia tetapi untuk tujuan keselamatan pemandu manusia akan masih digunakan. Ujian awal akan dilakukan pada tahun 2020 dengan operasi pada 2021. Selain ID.Buzz, lori swapandu Scania juga akan diuji dengan kemampuan membawa 10 orang penumpang.
Penggunaan teknologi swapandu di acara besar kini sudah menjadi lumrah dengan Jepun juga akan menggunakannya di Olimpik 2020. Pada acara Olimpik 2024 pula, teksi swaterbang pula akan diuji bagi mengatasi kesesakan yang dijangka berlaku sepanjang temasya.