Cari @ Amanz

Sistem operasi dengan pegangan terbesar pada peranti mudah alih ialah Android manakala pada komputer peribadi pula adalah Windows. Pembangun aplikasi dan perkakasan amat bergantung kepada pembangun sistem operasi untuk kelangsungan hidup. Tetapi hubungan mereka tidak semestinya kekal dalam simbiosis yang seimbang seperti yang dapat dilihat berlaku kepada Huawei.

Menurut laporan The Information pagi ini, Facebook sedang membangunkan sebuah sistem operasi baharu dengan bantuan Mark Lucovsky yang terlibat menghasilkan Windows NT. Buat masa ini sistem operasi Facebook ini akan menumpukan kepada penggunaan pada kaca mata realiti terimbuh. Pembangunan dilakukan bagi mengurangkan penggantungan Facebook kepada Google, Apple dan Microsoft.

Sistem operasi Facebook sepenuhnya boleh mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan milik mereka (seperti WhatsApp, Oculus dan Instagram) dengan lebih menyeluruh. Ini sudahpun dilakukan oleh Google menerusi GApps. Kebebasan yang diberikan akan membuatkan mereka tidak perlu risau aplikasi dihalang seperti yang berlaku awal tahun ini di mana aplikasi Onavo oleh Facebook dibuang dari App Store dan Play Store kerana dikatakan melanggar privasi pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd