Cari @ Amanz

Jenama Alienware terkenal dengan aksesori komputer yang menyasarkan golongan peminat tegar permainan video. Semalam mereka mengumumkan model kemas kini untuk monitor Alienware 25 dengan rekaan lebih agresif tetapi mengekalkan skrin dengan kadar sedar semula 240Hz.

Dua model dengan skrin sebesar 25 dan 27 inci ini dilancarkan sebelum acara CES 2020 yang akan berlangsung minggu hadapan. Rekaan bahagian tapak dan tengkuk kini lebih selari dengan komputer riba Alienware 51m yang dilancarkan sebelum ini. Sistem lampu RGB berbentuk bujur digunakan pada tengkuk monitor.

Skrin berteknologi IPS ini sekadar menyokong resolusi maksimum HD penuh sahaja tetapi hadir dengan AMD FreeSync serta masa tindak masa 1 ms. Monitor Alienware 25 akan mula dijual bermula Mac 2020 pada harga bermula dari $500 (~RM 2047) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd