HP ENVY 32 Ialah AIO Pertama Dengan Piawaian NVIDIA RTX Studio
HP

HP ENVY 32 Ialah AIO Pertama Dengan Piawaian NVIDIA RTX Studio

Diterbitkan pada Jan 6, 2020 oleh .

Hujung tahun lalu NVIDIA RTX Studio diumumkan bagi menghasilkan piawaian komputer yang sesuai digunakan oleh golongan profesional. Hari ini di CES 2020, HP ENVY 32 AIO telah diumumkan sebagai AIO pertama yang melepasi piawaian ini.

Ia dilengkapi skrin 31.5″ 4K IPS dengan piawaian HDR600, pemproses sehingga Intel Core i7-9700, kad grafik NVIDIA GeForce RTX2080, memori sehingga 32GB DDR4 dan storan sehingga 1TB SSD. Terdapat kamera sebesar 5MP infra merah yang menyokong Windows Hello. Bagi yang mementingkan privasi, kamera ini boleh dimatikan secara fizikal.

Turut disertakan ialah pembesar suara 2.1 Bang&Olufsen secara terbina pada bahagian bawah. Pilihan I/O pula ialah 2x USB 3.1 Gen2 Thunderbolt 3, 1x USB 3.1 Gen2 USB-C, 1x USB 3.1 Gen1, input HDMI, output HDMI dan bicu audio 3.5mm. Ia ditawarkan dalam warna Nightfall Black lengkap dengan papan kekunci serta tetikus nirwayar. Terdapat tempat simpanan khas untuk telefon pintar pada papan kekunci ini. Di Amerika Syarikat ia dijual pada harga bermula dari $1900 (~RM7800) sebuah.



TIPS & ULASAN