HP Spectre x360 15 Diumumkan Dengan Cip Intel Generasi Kesepuluh Dan Bateri 17 jam
HP

HP Spectre x360 15 Diumumkan Dengan Cip Intel Generasi Kesepuluh Dan Bateri 17 jam

Diterbitkan pada Jan 6, 2020 oleh .

HP Spectre x360 13 pada hemat kami adalah antara komputer riba tercantik yang dilancarkan tahun lalu dan ia baru sahaja dikemaskini dengan cip Intel generasi ke-10. Di CES 2020, model terbaru HP Spectre x360 15 telah diumumkan dengan saiz skrin lebih besar, cip Intel Core i7 generasi ke-10 Ice Lake serta sokongan Project Athena.

Skrin 15,6″ dengan pilihan OLED dengan resolusi sehingga 4K. Bezel yang lebih nipis memberikan nisbah skrin kepada tubuh sebanyak 90%. Ini adalah peningkatan mendadak berbanding 79.78% pada model sebelum ini. Selain cip terkini Intel, ia turut ditawarkan dengan pilihan kad grafik NVIDIA terbina.

Kamera infra merah sebesar 2.2mm membolehkan HP Spectre x360 15 menyokong sistem pengimbas wajah walaupun dengan dahi skrin yang kecil. Turut disertakan ialah pengimbas cap jari, butang fizikal menyahaktifkan kamera dan juga mikrofon bagi tujuan privasi.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam aluminium dengan rekaan bersudut unik seperti Spectre x360 13 sebelum ini. Selari dengan keperluan semasa, komputer riba premium ini boleh disambung ke rangkaian WiFi 6.

Akhir sekali menerusi Project Athena, komputer riba ini dapat berfungsi sehingga 17 jam dengan sekali caj. Di Amerika Syarikat ia dijual pada harga bermula $1600 (~RM6600) bermula Mac.



TIPS & ULASAN