Carian
HP Turut Memperkenalkan Elite Dragonfly G2 – Hadir Dengan Penjejak Dari Tile & 5G
January 6, 2020 Fahim Zahar

HP Elite Dragonfly mula dijual di Malaysia pada November lepas dengan harga bermula dari RM6,500. Ia adalah sebuah komputer riba 2-dalam-1 yang boleh dilipat ke mod tablet, bersaiz nipis, ringan dan amat berkuasa. Kini tahun 2020 di acara CES 2020, HP telah mengemaskini model ini melalui Elite Dragonfly G2.

HP Elite Dragonfly G2 hadir dengan sokongan 5G, dijana cip pemprosesan Intel Core vPro generasi ke-10, kekal memfokuskan privasi dan sekuriti dan dibina dari bahan binaan plastik mesra alam yang dikitar semula. Lebih menarik, komputer riba ini hadir dengan penjejak dari Tile untuk pengguna mudah cari lokasi peranti jika terlupa letak di mana. Storan dalaman boleh dipilih sehingga 2TB, cip modem 5G yang digunakan adalah dari Qualcomm X55 LTE + 5G, Untuk sambungan WiFi, HP mengekalkan sokongan WiFi 6 agar sambungan Internet sentiasa pantas. Skrin pula adalah dari teknologi HP SureView, bagi memastikan privasi dan tiada orang boleh intip, kamera web juga boleh ditutup dan untuk tambahan sekuriti, pengimbas cap jari dan imbasan wajah turut disertakan.

Buat masa ini, HP masih tidak umumkan variasi yang akan dijual seperti RAM, cip pemprosesan pilihan atau warna. Harga juga masih belum diumumkan. Seperti model sebelum ini, fokus HP adalah untuk pengguna korporat dan pengguna biasa mungkin sukar untuk membeli komputer riba ini.

Komen