Cari @ Amanz

Di dalam keluarga ThinkPad, siri X1 ialah yang paling premium dengan rekaan yang boleh dikatakan paling menarik. Di CES hari ini Lenovo ThinkPad X1 Carbon dan ThinkPad X1 Yoga dikemaskini untuk tahun 2020 dengan beberapa pembaharuan kecil memandangkan model dengan cip Intel Core generasi kesepuluh baru sahaja diumumkan dua bulan yang lalu. Penambahbaikan hanya dilakukan pada sokongan WiFi 6 dan kekunci khas untuk panggilan VoIP.

Lenovo ThinkPad X1 Carbon generasi kelapan ini akhirnya mengekalkan kerangka yang diperbuat daripada gentian karbon. Tekstur sulaman gentian karbon kini kelihatan jelas pada bahagian penutup. Ia dilengkapi skrin sebesar 14″ dengan pilihan skrin yang menyokong paparan 4K Dolby Vision HDR, dijana pemproses sehingga Intel Core-i7 generasi kesepuluh, memori sehingga 16GB LPDDR3 dan storan SSD sehingga 2TB PCIe. Bateri sebesar 51Wh yang disertakan mampu membekalkan kuasa sehingga 15 jam. Terdapat sokongan pengecasan pantas 65W yang membolehkan ia dicas sehingga 80% dalam masa sejam.

Papan kekunci berlampu dari jenis Smiley, pad sesentuh dan tombol penjejak ThinkPad kesemuanya masih dikekalkan. Kamera web yang disertakan pula kini mempunyai penutup fizikal ThinkShutter yang mengelakkan diri diintip walaupun peranti telah digodam. Seperti model terdahulu, ThinkPad X1 Carbon melepasi piawaian tahan lasak ketenteraan MIL-STD. Pilihan I/O yang diberikan ialah 1 USB-C Thunderbolt 3, 2 USB-C 3.1, satu HDMI 1.4 dan satu DP 1.2. Kesemua komponen ini berjaya dimasukkan ke dalam sebuah kerangka seberat 1.09 kg.

Lenovo ThinkPad X1 Yoga generasi kelima mempunyai kerangka aluminium sepenuhnya. Ia turut dilengkapi skrin sebesar 14″ sesentuh dengan pilihan skrin yang menyokong paparan 4K Dolby Vision HDR. Spesifikasi lain adalah sama dengan X1 Carbon. Perbezaan terletak pada pilihan I/O yang lebih pelbagai iaitu 2 USB-C Thunderbolt 3, 2 USB-C 3.1, satu HDMI 1.4 dan satu DP 1.4 Thunderbolt 3.

Skrin boleh diputarkan 360 darjah dan turut disertakan ialah stylus ThinkPad Pen. Ia tersimpan kemas di dalam dermaga yang terbina pada kerangka. Kesemua komponen ini berjaya dimasukkan ke dalam tubuh hanya seberat 1.3 kg.

Lenovo ThinkPad X1 Carbon akan mula dijual pada harga bermula $1499 (~RM 6158). Lenovo ThinkPad X1 Yoga pula akan turut dijual pada harga bermula $1599 (~RM 6600).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd