Cari @ Amanz

Kerajaan sebelum ini telah pun meluluskan pelaksaan “ID Digital Nasional”, dan kini selari dengannya, pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mengumumkan yang mana kajian komprehensif berkaitan dengannya telah pun dimulakan sejak 21 November 2019 yang lepas.

Kajian yang akan berlangsung selama 30 minggu ini dilakukan untuk mengesyorkan model pelaksanaan ID Digital di Malaysia.

ID Digital Nasional ini dijangka akan memudahkan lagi pengguna tempatan dalam melakukan pelbagai perkara secara atas-talian – selain memudahkan proses pengesahan identiti seseorang pengguna dengan lebih mudah. SKMM turut menekankan yang mana ia hanyalah untuk memudahkan pengguna, dan bukannya sebagai pengganti kepada Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional, dan tidak sama sekali diwajibkan untuk semua pengguna.

Melalui video pengenalan yang diterbitkan oleh SKMM hari ini, ia memperlihatkan kemudahan untuk pengguna, dimana hanya perlu mendaftar dan mengesahkan pendaftaran identiti, seterusnya menggunakannya untuk pelbagai perkara. Antara konsep yang dipertontonkan adalah sebagai perantara selamat bagi pendaftaran akaun bank, pendaftaran sekolah, pengesahan identiti untuk menerima barangan, dan sebagainya.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah akan diimplementasikan sepenuhnya. Kajian dijangka akan selesai dalam beberapa bulan lagi, sebelum hasilnya dibentangkan – dan sebelum memilih penyedia ID Digital Nasional untuknya kelak. Sebelum ini, pihak Pos Malaysia telah pun mempertontonkan konsep penggunaan ID Kebangsaan mereka tersendiri.

Pos Malaysia MSiD

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd