Lenovo ThinkPad X1 Fold Ialah Komputer Riba Boleh-Lipat Pertama Dunia

Lenovo ThinkPad X1 Fold Ialah Komputer Riba Boleh-Lipat Pertama Dunia

Diterbitkan pada Jan 7, 2020 oleh .

Tahun lalu Lenovo memperlihatkan prototaip komputer riba dengan skrin boleh-lipat ThinkPad . Hari ini produk sebenar telah dilancarkan iaitu Lenovo ThinkPad X1 Fold. Komputer riba ini dilengkapi sebuah skrin sebesar 13.3″ OLED boleh-lipat dengan resolusi 2048 x 1536 pixel dan dijana cip keluaran Intel. Tiada maklumat mengenai apakah jenis pemproses yang digunakan, saiz RAM atau kapasiti storan.

Apabila dilipat ia kelihatan seperti sebuah buku kecil. Di dalam mod komputer riba, Lenovo menyertakan sebuah papan kekunci fizikal yang ditambat menggunakan bluetooth. Memandangkan ia sebuah ThinkPad, papan kekunci ini hadir dengan rekaan kekunci smiley dan pad sesentuh. Walau bagaimanapun tiada tombol merah untuk menggantikan tetikus seperti ThinkPad disertakan. Papan kekunci ini boleh disimpan di antara skrin yang dilipat apabila tidak digunakan.

Pengguna masih boleh menggunakan papan kekunci maya pada skrin jika ini diperlukan. Jadi bolehlah dikatakan ThinkPad X1 Fold menggantikan Yoga Book yang juga dihasilkan oleh mereka. Skrin yang digunakan dihasilkan oleh LG, sama seperti peranti prototaip. Seperkara lagi ia hadir dengan sistem operasi Windows 10 dan juga sokongan stylus ThinkPad Pen Akhir sekali komputer riba Windows 10 boleh-lipat pertama dunia ini hanya sebesar 1 kg. Lenovo ThinkPad X1 Fold akan mula dijula pertengahan 2020 pada harga bermula $2499 (~RM10251).


TIPS & ULASAN