Penggunaan komputer riba Chrome OS di Malaysia adalah agak rendah dan sebelum ini popular di sekolah. Ia dilihat sebagai anak tiri kepada komputer riba Windows dan Mac. Tetapi bagi mereka yang meminati ekosistem Google. Samsung Galaxy Chromebook telah dilancarkan dan antara Chromebook yang paling seksi pernah dihasilkan.
Samsung Galaxy Chromebook dilengkapi skrin sesentuh 13.3″ 4K AMOLED, dijana cip Intel Core generasi kesepuluh, memori sehingga 16 GB RAM dan storan sehingga 1TB SSD. Engsel yang digunakan membolehkan skrin diputar 360 darjah mengubah Galaxy Chromebook menjadi sebuah tablet.
Sebuah stylus terbina turut disertakan dengan teknologi yang sama seperti sebuah Galaxy Note lengkap dengan tempat simpanannya tersendiri. Di dalam kedudukan tertutup ia mempunyai ketebalan 9.9mm dan bezel skrin pula hanya sebesar 3.9mm. Jika Chrome OS tidak menarik minat anda, hanya beberapa hari yang lalu Samsung Galaxy Book Flex α yang menggunakan Windows 10 telah diumumkan dengan spesifikasi setanding.
Samsung Galaxy Chromebook akan dijual pada suku pertama 2020 pada harga bermula dari $999.99 (~RM4000) dalam pilihan warna Mercury Gray dan Fiesta Red.