Carian
TCL Memperlihatkan Peranti Skrin Boleh Lipat Dengan Engsel Kupu-Kupu
January 8, 2020 Fahim Zahar

Tahun lepas, TCL telah memperlihatkan beberapa peranti konsep mereka termasuk teknologi engsel untuk peranti skrin boleh lipat. Engsel ini dinamakan sebagai DragonHinge. Kemudian mereka telah memperlihatkan prototaip peranti skrin boleh lipat dengan rekaan siku-sika.

Di acara CES 2020 yang sedang berlangsung di Las Vegas, TCL telah memperlihatkan pula peranti konsep skrin boleh lipat serba baharu. Mereka menggunakan engsel kupu-kupu dan bukannya DragonHinge atau engsel siku-sika. Peranti konsep ini adalah peranti yang berfungsi dan ia sedikit mirip dengan Galaxy Fold, iaitu sebuah table yang boleh dilipat menjadi telefon.

Peranti ini apabila dibuka, akan menjadi skrin 7.2-inci dan di dalamnya tiada kamera swafoto. Sebaliknya semua kamera berada di belakang peranti melalui sistem kuad-lensa. Bezel skrin pula adalah plastik dan amat tebal. Konsep skrinnya adalah seperti Motorola Razr, yang mana skrin akan bergerak sedikit ke dalam. Secara tidak langsung peranti ini boleh ditutup rapat. Menurut CNET, peranti ini akan membuat bunyi bising apabila buka dan tutup dan perisiannya juga adalah amat tidak stabil dan banyak lengah masa.

TCL dikatakan akan bersaing dengan Motorola RAZR, kerana peranti ini mungkin akan dijual dengan tanda harga bawah RM6100. Maklumat lanjut mengenai peranti ini hanya akan dikongsi oleh TCL bulan hadapan, di acara MWC Barcelona 2020.

Komen