Carian
PBB Menggesa Siasatan Dilakukan Ke Atas Dakwaan Arab Saudi Menggodam Telefon Jeff Bezos
January 23, 2020 Effi Saharudin

Semalam The Guardian melaporkan telefon pintar milik Jeff Bezos telah digodam oleh kerajaan Arab Saudi menerusi fail yang dihantar oleh Putera Mohamad bin Salman (MBS) menerusi aplikasi WhatsApp pada tahun 2018. Hasil godaman tesebut, Bezos telah diperas ugut untuk menghentikan laporan negatif ke atas kerajaan Arab Saudi menerusi akhbar milik beliau The Washington Post (WaPo).

Hari ini dua pelapor khas Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Agnès Callamard dan David Kaye menggesa siasatan dilakukan ke atas insiden ini. Bukti-bukti yang dilaporkan The Guardian menunjukkan terdapat usaha dari Saudi untuk menghalang sebarang laporan negatif terhadap kerajaan dengan menggunakan maklumat peribadi Bezos yang dicuri.

Terdapat bukti fail dalam bentuk MP4 dihantar oleh akaun milik MBS ke telefon pintar iPhone milik Bezos menerusi WhatsApp. Selepas fail dihantar, sejumlah data peribadi telah dihantar keluar dari peranti. Bezos kemudian terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi beliau menjalinkan hubungan sulit ketika masih berkahwin sehingga menyebabkan beliau bercerai tahun lalu.

Aplikasi hasad Pegasus yang dibangunkan oleh NSO Group yang berpangkalan di Israel dipercayai telah digunakan untuk menggodam Bezos. Oktober lalu NSO Group telah disaman oleh WhatsApp kerana mengintip pengguna-pengguna mereka.

Sebelum ini Pegasus telah digunakan untuk menggodam peranti milik wartawan WaPo, Jamal Kashonggi yang kemudian dibunuh di kedutaan Saudi di Turki. Laporan beliau di WaPo tidak disenangi oleh MBS kerana kritis terhadap pemerintah Saudi.

Komen