Hospital Khusus Untuk Wabak 2019 nCoV Akan Siap Dibina Di Wuhan Dalam Masa Hanya Enam Hari

Hospital Khusus Untuk Wabak 2019 nCoV Akan Siap Dibina Di Wuhan Dalam Masa Hanya Enam Hari

Diterbitkan pada Jan 24, 2020 oleh .

Wabak Koronavirus Wuhan atau nama saintifiknya 2019 nCoV mula menjadi topik perbualan global sejak seminggu lalu. Sehingga kini 25 kematian telah dilaporkan dengan lebih 900 kes dilaporkan di Amerika Syarikat. Thailand, Taiwan, SIngapura dan Jepun. Kesemuanya berlaku kerana dipercayai akibat tabiat memakan haiwan eksotik. Terkini kerajaan China mengumumkan sebuah hospital khas sedang dibina di Wuhan dan ia bakal siap dalam masa hanya enam hari.

Hospital sebesar 25,000 kaki persegi ini boleh menempatkan 1000 katil dan mengikut pelan Hospital Xiaotangshan yang dibina di Beijing ketika wabak SARS pada tahun 2003. Hospital Xiaotangshan mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan pada waktu tersebut. Teknik bangunan pasang siap membolehkan proses pembinaan dilakukan dalam masa yang amat singkat. Laporan media Xinhuanet menunjukkan puluhan jentolak meratakan tapak pembinaan hospital secara serentak bagi mengejar masa.

Apabila memulakan operasi pada 3 Februari (10 hari selepas pembinaan dimulakan), hospital ini akan menempatkan kesemua pesakit 2019 nCoV yang kini dirawat di lebih 60 hospital dan klinik di Wuhan. Ketika artikel ini ditulis, bandaraya Wuhan telah dikuarantin dengan pergerakan keluar serta masuk dihalang oleh kerajaan bagi mengelakkan penyebaran virus.

Teknologi pembinaan pantas di China mendapat perhatian dunia apabila sebuah bangunan 57 tingkat berjaya dibina dalam masa 19 hari menggunakan teknik pasang siap pada tahun 2015.



TIPS & ULASAN