Ulasan Huawei FreeBuds 3 – Fon Telinga Nirwayar Pilihan Untuk Peranti Huawei

Ulasan Huawei FreeBuds 3 – Fon Telinga Nirwayar Pilihan Untuk Peranti Huawei

Diterbitkan pada Feb 17, 2020 oleh .

Apabila Apple membuang bicu audio pada iPhone 7. mereka menjadi bahan jenaka industri kerana mengatakan tindakan mereka memerlukan keberanian. Tetapi kini apa yang dilakukan oleh Apple telah menjadi pengeluar lain seperti Samsung, Huawei dan Oppo. Maka tidak mengejutkan pasaran fon telinga nirwayar bluetooth mula meletus dengan AirPods kini mendominasi pasaran.

Huawei tidak mahu ketinggalan di belakang dan mereka telah melancarkan FreeBuds 3 tahun lalu sebagai pesaing kepada AirPods. Fon telinga nirwayar ini mempunyai rekaan yang hampir sama tetapi hadir dengan sistem pembatalan hingar aktif tidak seperti AirPods. Adakah fon telinga ini berbaloi untuk dimiliki?

Spesifikasi

Huawei FreeBuds 3
Jenis Fon telinga terbuka
Mikrofon Dua
Bateri 30 mAh pada fon telinga
410 mAh pada pod pengecas
Port pengecas USB-C
Pengecasan nirwayar Ya / Qi
Sistem operasi disokong Android, iOS,
MacOS, Windows 10
Pembatalan hingar aktif (ANC) Ya
Sokongan pembantu maya Ya
Pad sesentuh Tiada
Kemampuan kalis air IPX2
Storan Dalaman Tiada
Audio Offline Tiada
Pengimbas nadi Tiada
Harga Jualan RM 729

Setiap fon telinga Freebuds 3 dilengkapi satu pemandu audio dan dua mikrofon. Ini meletakkannya setanding dengan Galaxy Buds, AirPods dan AirPods Pro. Ia walau bagaimanapun di belakang Galaxy Buds+ yang dilengkapi dua pemandu audio dan tiga mikrofon.

Sebuah bateri sebesar 30 mAh pula diletakkan pada setiap fon telinga bagi memberikan tempoh operasi sehingga 4 jam dengan sekali caj. Pada pod pengecas bateri sebesar 410 mAh disertakan. Menurut Huawei ini memberikan tempoh operasi keseluruhan mencecah 20 jam. Sekali lagi dari FreeBuds 3 di belakang pesaing terdekatnya iaitu AirPods Pro (4.5 jam/24 jam) dan Galaxy Buds+ (11 jam/22 jam). Terdapat sokongan pengecasan berwayar menerusi port USB-C dan pengecasn nirwayar menggunakan format Qi.

Freebuds 3 mempunyai kemampuan kalis air sehingga IPX2 yang membolehkan ia digunakan untuk aktiviti bersenam ringan. Akhir sekali FreeBuds 3 menyokong kawalan dwi-tap pada bahagian tangkai tanpa pad sesentuh yang ditemui pada Buds+ atau Jabra 75T.

Rekaan

Adalah mudah untuk mengatakan FreeBuds 3 adalah klon kepada AirPods. Namun begitu sebenarnya terdapat beberapa perbezaan ketara di antara kedua-dua fon telinga nirwayar ini. Pertama sekali ialah sambungan putik audio dengan bahagian tangkai yang lebih ketara. Lubang kekisi audio pada FreeBud 3 juga lebih besar dengan bahagian tangkai yang juga lebih panjang. Seperkara lagi ialah tidak seperti AirPods generasi pertama, FreeBuds 3 hadir dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC).

Keputusan Huawei untuk menyertakan ANC pada fon telinga dengan rekaan terbuka ini adalah berani kerana secara lazimnya ia hanya digunakan oleh fon kepala dengan pendakap kedap dan fon telinga dari jenis earbuds.

Kemasan pada tubuh dan pod pengecas adalah berkilat. Pilihan warna yang diberikan ialah hitam serta putih untuk pasaran Malaysia. Warna merah diumumkan pada minggu lalu sempena hari kekasih tetapi sehingga kini tidak diketahui jika ia akan memasuki pasaran Malaysia. Kemasan berkilat ini membuatkan FreeBuds kelihatan amat premium.

Namun  begitu ia juga membuatkan ia mudah kelihatan kotor. Selepas menggunakan FreeBuds 3 selama tiga minggu kami menyedari pod pengecasnya mula calar balar kerana kemasan berkilat ini mudah memerangkap kotoran. Jika anda pernah terfikir mengapa terdapat banyak kerangka untuk AirPods di pasaran, jawapannya ialah kemasan berkilat hanya digunakan memang kelihatan menarik tetapi dengan mudah hilang serinya dalam penggunaan di dunia sebenar.

Berita baik bagi mereka yang ingin membeli FreeBuds 3 ialah kerangka tahan lasak untuk fon telinga ini boleh dibeli di Malaysia pada harga yang masih mampu milik tanpa kehilangan sokongan pengecasan nirwayar.

Bercakap mengenai pod pengecas, pujian kami berikan kepada Huawei kerana binaannya yang mesra poket. Rekaan seakan sabun tangan FreeBuds 3 amat mudah dimasukkan ke dalam kocek seluar tanpa menimbulkan ketidakselesaan. Pada hemat kami rekaan pod pengecas/simpanan fon telinga ini adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan yang digunakan oleh Apple, Samsung, Jabra dan Sony. Ia amat padat sehingga kerap kali kami terlupa ia disimpan di dalam kocek.

Rekaan yang padat ini dipadankan pula dengan rekaan engsel yang juga premium. Engsel tertutup pada dan tidak mudah tertanggal kerana terdapat magnet. Apabila di dalam pod, kedua-dua tangkai fon telinga akan tersimpan kemas. Kami boleh menggoncangkan pod dengan agak agresif dan fon telinga tidak akan terjatuh keluar. Ia adalah amat setanding dengan apa yang ditemui pada sebuah AirPods.

Kualiti Bunyi

Pertama sekali kami perlu memulakan perenggan ini dengan beberapa penafian. Kami lebih gemar menggunakan fon kepala dan fon telinga dari jenis earbuds kerana ia menawarkan penyaringan audio luaran yang lebih baik. Oleh itu ulasan kualiti audio dan penggunaan yang ditulis adalah dari perspektif pengguna yang telah lama tidak menggunakan fon telinga dengan rekaan terbuka.

Pertama sekali ialah FreeBuds 3 ialah fon telinga yang lebih sesuai digunakan untuk mereka yang gemar mendengar muzik akustik. Kualiti treble adalah amat memuaskan dan cukup gemersik. Tetapi dentuman bassnya adalah sedikit mengecewakan bagi sebuah fon telinga yang dijual pada harga RM729. Pada tetapan audio paling tinggi audio yang dihasilkan masih lagi terang dan tidak pecah. Satu lagi komen negatif yang ingin kami berikan ialah pada tetapan paling tinggi kami rasakan ia tidak cukup lantang.

Kelantangan maksimum ini adalah perlu kerana ia boleh menghalang bunyi luar dari mengganggu pengguna. Walaupun FreeBuds 3 mempunyai pembatalan hingar aktif, ia masih belum cukup efektif untuk menghalang pencemaran bunyi dari luar. Kami rasakan hanya 70% bunyi bising dapat ditapis jika ANC diaktifkan. Raja ANC untuk fon telinga pada waktu ini masih lagi Sony WF-1000XM3.

Ini boleh dilihat dari dua sudut pandangan berbeza. Dari sudut pandangan positif pengguna masih boleh mendengar hon kereta ketika bersenam sekaligus mengelakkan diri “pekak” dari dunia luar. Perkara negatifnya pula ialah ia tidak menapis audio luar dari mencemari salur telinga ketika di pejabat misalnya.

FreeBuds 3 membenarkan pengguna mengawal tahap kekuatan ANC menerusi aplikasi Huawei AI Life tetapi pada hemat kami antaramukanya adalah mengelirukan. Terdapat sebuah roda yang berputar 360 darjah. Kami tidak tahu pada tetapan mana audio ditapis pada tahap maksimum atau minimum.

FreeBuds 3 juga tidak mempunyai mod transparensi yang membenarkan audio dari luar masih didengari seperti yang ditawarkan pada AirPods Pro, WF-1000XM3 dan Galaxy Buds+. Kami adalah pengguna tegar mod transparensi kerana ia kami tidak mahu ketinggalan mendengar pengumuman di lapang terbang.

Secara keseluruhan kualiti audio Huawei FreeBuds 3 kami letakkan sebagai sederhana sahaja. Ia akan menggembirakan peminat muzik akustik, vokal dan orkestra tetapi tidak cukup mantap untuk peminat muzik Hip Hop dan EDM. Imbangan audio untuk fon telinga jenis terbuka adalah lebih baik pada AirPods generasi pertama.

Tetapi kami harus juga mengatakan audio maksimum pada FreeBuds 3 adalah lebih tinggi dan ia juga lebih baik dalam menghalang pencemaran audio luar berbanding AirPods generasi pertama.

Penggunaan – EMUI 10, Android dan iOS

Terdapat perbezaan penggunaan FreeBuds 3 bergantung kepada peranti yang digunakan oleh anda. Pengalaman terbaik ialah pada peranti Huawei yang menggunakan sistem operasi EMUI 10. Pada sistem operasi Huawei ini kesemua fungsi FreeBuds 3 dapat digunakan sepenuhnya.

Untuk memulakan tambatan buka bahagian penutup dan tekan butang pada sisi kanan pod pengecas. Lampu LED pada bahagian dalam akan berkelip-kelip menandakan ia sedia untuk ditambat pada peranti baharu. Pada peranti Huawei sebuah skrin mini akan memaparkan imej FreeBuds 3 dan tekan connect untuk melengkapkan proses tambatan. Pada peranti Android tambatan dilakukan menerusi aplikasi AI Life atau menu Bluetooth. Pada peranti iOS pula tambatan hanya boleh dilakukan menerusi menu bluetooth.

EMUI 10

Muzik akan dijeda dan disambung semula apabila FreeBuds 3 dicabut dari telinga. Kustomasi dwi-tap pada tangkai dan kawalan ANC FreeBuds 3 juga boleh dilakukan tanpa perlu memuat turun aplikasi Huawei AI LIfe secara berasingan. Kemampuan ANC pada peranti Huawei adalah lebih baik berbanding pada peranti Android yang kami gunakan iaitu Galaxy Note 10+.

FreeBuds 3 hanya membenarkan satu aksi dwi-tap diprogramkan pada setiap fon telinga. Pengguna boleh menjeda/memainkan audio, menyeru pembantu maya, melangkau ke audio seterusnya, atau mematikan/mengaktifkan ANC. Jumlah kawalan yang diberikan ini adalah amat terhad berbanding fon telinga yang dikeluarkan oleh pesaing pada tanda harga yang setanding. Sebagai contoh Galaxy Buds yang dilancarkan tahun lalu memberikan lebih banyak kawalan dan dijual pada harga yang lebih rendah.

Android

Pada peranti Android bukan Huawei pula muzik tidak dijeda atau disambung apabila FreeBuds 3 ditanggalkan. Pengguna perlu memuat turun aplikasi Huawei AI Life untuk mengubah tetapan dwi-tap pada tangkai dan tahap kekuatan ANC. Aplikasi Huawei AI Life ini adalah perlu bagi melihat tahap pengecasan kedua-dua fon telinga serta pod pengecas.

iOS

Apabila ditambat pada peranti iOS pula jumlah fungsi FreeBuds 3 yang boleh digunakan semakin mengecil. Tiada aplikasi Huawei AI Life di App Store. Pengguna hanya boleh melihat tahap bateri untuk fon telinga sahaja. Tiada pilihan untuk mengaktifkan/mematikan sistem ANC atau mengubah tetapan dwi-tap. Dengan kata lain kami langsung tidak menyarankan FreeBuds 3 digunakan oleh pemilik peranti iOS.

Bateri

FreeBuds 3 diiklankan dengan masa penggunaan sehingga 4 jam secara berterusan. Dalam ujian kami, ini amat bergantung kepada tahap kekuatan audio. Pada tahap audio yang tinggi kami hampir mendapat masa penggunaan seperti yang diiklankan ini. Seperkara lagi kami turut menyedari fon telinga kanan akan lebih pantas kehabisan bateri berbanding fon telinga kiri. Mengapa ini berlaku tidak kami ketahui kerana FreeBuds 3 sepatutnya adalah sepasang TWS  dan penggunaan bateri sepatutnya adalah sekata.

Lampu LED pada bahagian dalam pod menunjukkan tahap bateri fon telinga. Warna hijau apabila terdapat 60% bateri dan ke atas, warna kuning apabila terdapat 59%-21% bateri dan warna merah apabila di bawah 20%. Terdapat sebuah lagi lampu LED pada bahagian luar bersebelahan port USB-C yang bertukar warna sama seperti di atas. Namun begitu ia ketika mengecas, lampu akan bertukar hijau apabila pod dicas sepenuhnya.

Apabila kehabisan bateri, FreeBuds 3 boleh dicas semula dalam masa sejam. Ini ialah masa pengecasan yang boleh diterima kerana setanding dengan fon telinga nirwayar keluaran pengeluar lain. Walaupun menyokong pengecasan nirwayar, kami tidak menyarankan ia digunakan kerana mengambil masa lebih dari dua jam.

Pesaing

Perbandingan
Huawei FreeBuds 3 Apple AirPods Samsung Galaxy Buds+
Fon telinga nirwayar terbuka Fon telinga nirwayar terbuka Fon telinga nirwayar earbuds
Satu pemandu audio
Satu pemandu audio
Dua pemandu audio
Dua mikrofon Dua mikrofon Tiga mikrofon
Bateri – 30 mAh (fon telinga)
410 mAh (pod pengecas)
Hayat bateri – 4 jam/20 jam
Bateri – 62 mAh (fon telinga)
398 mAh (pod pengecas)
Hayat bateri– 5 jam/24 jam
Bateri – 85 mAh (fon telinga)
270 mAh (pod pengecas)
Hayat bateri – 11 jam/22 jam
ANC Tiada ANC Tiada ANC
Berat – 4.5 gram Berat – 6 gram Berat – 6.3 gram
Bluetooth 5.1 Bluetooth 5 Bluetooth 5
IPX4 Tidak kalis air IPX2
Menyokong pengecasan nirwayar Menyokong pengecasan nirwayar Menyokong pengecasan nirwayar
RM 729 RM 879 RM 599

Kesimpulan

Huawei FreeBuds 3 ialah sebuah fon telinga nirwayar yang baik tetapi hanya boleh digunakan sepenuhnya jika anda memiliki peranti Huawei. Fungsi menjeda audio dengan menanggalkan fon telinga hanya disokong pada peranti Huawei sahaja pada waktu ini. Kami juga menyedari kualiti ANC FreeBuds 3 juga lebih baik pada peranti Huawei.

Mengapa kesemua fungsi-fungsi menarik pada FreeBuds 3 tidak ditawarkan pada peranti Android lain tidak kami ketahui. Keputusan aneh Huawei ini mengecewakan kerana FreeBuds 3 menawarkan pengalaman audio yang memuaskan terutamanya jika anda menggemari muzik akustik. Kerana ia menggunakan rekaan fon telinga terbuka, ia amat selesa dipakai untuk masa yang lama tanpa menimbulkan kesakitan yang sering dikaitkan dengan fon telinga jenis earbuds. Ia juga masih boleh melekat pada telinga dengan kemas walaupun pemakai melakukan aksi headbanging.

Adakah kami menyarankan FreeBuds 3 kepada pembaca Amanz? Jawapannya ya jika anda memilki peranti Huawei. Kesemua fungsi-fungsi menarik dapat diakses tanpa masalah. Ia juga mempunyai kemampuan menyaring hingar yang agak baik walaupun tidak menggunakan rekaan earbuds yang lebih popular pada waktu ini.

Tetapi amat sukar untuk kami sarankan kepada pengguna peranti lain kerana sokongan perisian yang kurang memuaskan. Ini ditambah agi dengan sokongan kawalan pada fon telinga yang terhad dan hayat bateri yang kini jatuh ke dalam kategori kurang memuaskan.

Pro

  • Kualiti bunyi yang sangat baik terutamanya muzik akustik dan klasik.
  • Mempunyai sistem pembatalan hingar aktif (ANC).
  • Kalis percikan air IPX4. Boleh digunakan untuk bersenam.
  • Sokongan pengecasan nirwayar Qi.
  • Kualiti binaan yang premium. Kemasan berkilat yang menarik perhatian.

Kontra

  • Penggunaan bateri yang tidak sekata. Fon telinga kanan kehabisan bateri lebih pantas.
  • Fungsi sepenuhnya hanya boleh dinikmati pemilik peranti Huawei.
  • Tiada mod Ambience.
  • Hanya menyokong satu fungsi dwi-tap pada setiap fon telinga. Jumalh agak terhad berbanding fon telinga pesaing.
  • Hayat bateri yang agak pendek.


TIPS & ULASAN