Instagram merupakan salah satu aplikasi perkongsian gambar yang telah diambil-alih oleh Facebook pada 2012 yang lepas. Sejak pengambil-alihan, Instagram telah menambah sejumlah ciri-ciri baru, termasuk perkongsian video, IGTV, dan paling popular adalah Instagram Stories.
Dengan populariti Instagram yang kian meningkat, kini ia diperkatakan yang mana suku daripada pendapatan Facebook dijana oleh Instagram.
Menurut Bloomberg, Instagram dikatakan menjana sekitar $20 bilion (~RM82 bilion) dari segi pendapatan pengiklanan sepanjang 2019 yang lepas.
Angka ini masih belum rasmi lagi buat masa ini. Tetapi sekiranya benar, maka ia memperlihatkan Instagram menjana pendapatan yang lebih tinggi berbanding YouTube milik Google yang mengatakan telah menjana sekitar RM60 bilion pada 2019 lepas.
Dengan perkembangan ini, semestinya ia sesuatu yang menarik untuk melihat apakah kejutan yang disediakan oleh Facebook melalui perkhidmatan Instagram untuk tahun ini.