Carian
Counterpoint Research: OnePlus Menewaskan Samsung Sebagai Jenama No. 1 Paling Premium Di India
February 5, 2020 Fahim Zahar

iPhone sepanjang tahun 2018 kekal menjadi peranti paling premium. Malah, OnePlus yang semakin meningkat juga masih tidak dapat menandingi jenama buah ini. Ya, OnePlus sejak dua tahun lepas telah menggelar diri mereka sebagai jenama premium dan bukan lagi sebagai jenama yang menjual peranti mercu mampu milik.

Tetapi berbeza pada tahun 2019, buat pertama kali dalam sejarah – OnePlus adalah jenama paling premium sepanjang tahun lepas di India. Pemasaran telefon pintar OnePlus di India tahun demi tahun meningkat sehingga 28%. Jumlah peranti yang OnePlus berjaya pasarkan adalah mencecah 2 juta unit sepanjang 2019. 25% daripada kutipan tahun lepas adalah disebabkan oleh OnePlus 7 Pro. Di India, kategori peranti premium bermula dari ≥₹30,000, iaitu sekitar RM1737.3. Manakala segmen ultra-premium adalah dari ≥₹45,000, iaitu sekitar RM2606.

OnePlus Concept One

Antara sebab OnePlus menjadi pilihan ramai orang di sana adalah, OnePlus mendengar maklum balas dari pengguna mereka, pengguna OnePlus lama menaiktaraf ke peranti OnePlus baharu dan juga pengguna OnePlus yang pertama sekali. Pihak Counterpoint Research turut menyatakan yang perbualan mulut orang ramai turut menyumbang kepada kejayaan OnePlus ini.

Sebelum ini, Samsung adalah yang pertama sebagai peranti paling premium. Kini mereka telah jatuh ke anak tangga kedua dengan pengurangan sebanyak 2% kutipan tahun demi tahun. Di India, peranti paling premium yang berjaya Samsung pasarkan adalah Galaxy S10 Plus – yang mana menyumbang dalam segmen ultra-premium sebanyak 24%. Walaupun berada di nombor kedua, untuk tahun 2019 Samsung dikira berjaya kerana mengutip 79% pasaran secara keseluruhan – berbanding tahun 2018 yang hanya berjaya pasarkan sebanyak 62%. Samsung mungkin ada peluang untuk kembali menjadi yang pertama, melalui penjualan Galaxy Note 10 Lite dan S10 Lite yang dilancarkan di India terlebih dahulu baru-baru ini.

Jika bercakap mengenai peranti premium, pasti jenama Apple berada di minda. Untuk pasaran Apple di India – ia adalah jenama premium yang paling pantas untuk menerima kutipan yang tinggi. Kutipan tahun demi tahun 2019 Apple disumbangkan oleh iPhone XR sebanyak 41%. Apple juga melihat pemasaran yang baik bagi siri iPhone 11, lebih-lebih lagi iPhone 11 yang dijual pada harga mampu milik. Jualan iPhone lebih tinggi di India pada musim perayaan. Dengan penghasilan iPhone di India yang sudah pun bermula, pihak Counterpoint Research menjangkakan kutipan iPhone akan lebih meningkat pada tahun ini.

Komen