Cari @ Amanz

Huawei FreeBuds 3 ialah sebuah lagi fon telinga nirwayar premium yang dihasilkan kerana semakin banyak peranti mercu tidak lagi mempunyai bicu audio. Semasa dilancarkan di Malaysia, ia hanya ditawarkan dalam warna hitam dan putih. Sempena Hari Kekasih yang akan datang, fon telinga ini ditawarkan pula dalam warna merah.

Perubahan hanya terletak pada warna fon telinga dan juga pod penyimpan merangkap pod pengecas. Ia masih hadir dengan sistem pembatalan hingar aktif, kemampuan kalis air dan pengecasan secara nirwayar. Dengan sekali caj FreeBuds 3 dapat beroperasi sehingga 4 jam atau 20 jam dengan penggunaan pod pengecas. Harga jualan versi berwarna merah serta sama ada ia akan ditawarkan di Malaysia masih belum diumumkan. Sebelum ini FreeBuds 3 dijual pada harga RM729 sepasang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd