Airbus Memperlihatkan MAVERIC – Konsep Pesawat Penumpang Dengan Rekaan Sayap Terbang

Airbus Memperlihatkan MAVERIC – Konsep Pesawat Penumpang Dengan Rekaan Sayap Terbang

Diterbitkan pada Feb 17, 2020 oleh .

Pergi ke lapangan terbang sekarang dan anda akan dapat melihat kesemua pesawat penumpang mempunyai rekaan yang sama. Rekaan standard ini telah digunakan sejak de Haviland Comet mula beroperasi pada tahun 1952 sebagai pesawat penumpang jet pertama. Tetapi dengan kos bahan api yang meningkat serta pengguna yang lebih cakna mengenai tapak karbon, pengeluar pesawat penumpang perlu berfikir di luar kotak untuk rekaan pesawat masa hadapan.

Di pameran udara Singapura minggu lalu, Airbus memperlihatkan rekaan pesawat konsep MAVERIC (Model Aircraft for Validation and Experimentation of Robust Innovative Controls). Pesawat kawalan jauh sepanjang 2 meter dan sayap selebar 3.2 meter ini ialah visi Airbus untuk pesawat penumpang generasi seterusnya.

Rekaan “sayap terbang” (flying wing) ini telah diuji sejak awal kurun ke-20 tetapi didapati tidak stabil. Sungguhpun begitu ia mempunyai kelebihan berbanding rekaan pesawat penumpang semasa kerana mempunyai rintangan udara yang lebih rendah. Hasilnya menurut Airbus, MAVERIC mampu memberi penjimatan penggunaan bahan api sehingga 20%.

Penumpang dan kargo akan duduk di dalam sayap dengan dua enjin diletakkan pada bahagian belakang. Rekaan MAVERIC adalah mirip Boeing X-48 yang diuji oleh Boeing dan NASA dari tahun 2007 hingga 2013. Sehingga kini Boeing tidak mempunyai perancangan menghasilkan pesawat penumpang dengan rekaan sayap terbang. Sebaliknya pesawat dengan sayap yang lebih nipis telahpun dihasilkan dengan pengurangan pencemaran sehingga 50% di dalam ujian makmal.


TIPS & ULASAN