NASA Mengetatkan Syarat Permohonan Program Angkasawan – Kini Perlu Memiliki Sekurang-Kurangnya Ijazah Sarjana

NASA Mengetatkan Syarat Permohonan Program Angkasawan – Kini Perlu Memiliki Sekurang-Kurangnya Ijazah Sarjana

Diterbitkan pada Feb 20, 2020 oleh .

Di dekad 80an saya menyimpan hasrat untuk menjadi seorang angkasawan selepas menonton filem SpaceCamp. Malang sekali pada waktu tersebut Malaysia masih belum mempunyai program angkasawan seperti yang wujud di NASA. Bagi rakyat Amerika Syarikat, syarat untuk menjadi angkasawan kini diperketatkan kerana mereka kini perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana dalam bidang STEM.

Sebelum ini pemohon hanya perlu memiliki ijazah sarjana muda. Syarat terbaru ini diperkenalkan untuk kumpulan ke-23 program angkasawan yang kini dibuka. Selain itu pemohon yang berminat perlu mampu melepasi ujian fizikal untuk penerbangan ke angkasa, pemandangan 20/20 (selepas menggunakan kaca mata atau LASIK) dan saiz tubuh yang sesuai untuk memasuki kapal angkasa serta baju angkasawan NASA.

Sekiranya mereka tidak mempunyai ijazah sarjana, pemohon masih lagi layak sekiranya mempunyai pengalaman 1000 jam menerbangkan pesawat jet. Kumpulan ke-23 angkasawan yang akan dipilih ini akan terlibat di dalam program misi ke bulan ARTEMIS dan ke Marikh.

Sejak memulakan program ke angkasa pada tahun 1959, sebanyak 350 rakyat Amerika Syarikat telah dipilih menjadi angkasawan. Permohonan untuk kumpulan ke-23 ini akan dibuka pada 2-31 Mac 2020.


TIPS & ULASAN