Carian
Sony Xperia L4 Dilancarkan Dengan Cip MediaTek Helio P22
February 20, 2020 Effi Saharudin

Jenama Sony Xperia tidak lagi segah sedekad yang lalu dengan jualan yang semakin merudum dan pasaran yang semakin mengecil. Tetapi bendera putih masih belum dikibarkan dan hari ini secara mengejut Sony Xperia L4 dilancarkan secara rasmi.

Seperti peranti Xperia L3, peranti ini jatuh ke dalam kategori pertengahan rendah. Skrin 6.2″ HD+ LCD dengan nisbah 21:9 dipadankan dengan cip MediaTek Helio P22, memori sebesar 3GB RAM, storan sebesar 64GB dan bateri sebesar 3580 mAh. Mengejutkan ia masih lagi menggunakan Android 9 Pie.

Kamera utama menggabungkan sensor 13+5+2 MP dan kamera hadapan pula sebesar 8 MP yang diletakkan pada sebuah takuk bersaiz kecil. Peranti masih dilengkapi bicu audio 3.5mm untuk sambungan aksesori berwayar.

Sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan. Sony mengekalkan rekaan peranti dengan bahagian dagu yang tebal jika dibandingkan dengan pengeluar lain. Pada waktu ini Sony masih belum mengumumkan harga serta tarikh jualan Xperia L4.

Komen