Huawei MatePad Pro 5G Diperkenalkan Dengan Sokongan Pengecasan Nirwayar Berbalik

Huawei MatePad Pro 5G Diperkenalkan Dengan Sokongan Pengecasan Nirwayar Berbalik

Diterbitkan pada Feb 25, 2020 oleh .

Bersama-sama pengenalan Huawei Mate Xs dan komputer riba baru, pihak Huawei turut membuat kejutan dengan memperkenalkan tablet mercu mereka dengan sokongan rangkaian 5G, iaitu Huawei MatePad Pro.

Huawei Mate Pad Pro 5G

Huawei MatePad Pro 5G merupakan variasi dengan sokongan rangkaian 5G untuk MatePad Pro yang telah diperkenalkan di China sebelum ini. Ia hadir dengan skrin 10.8-inci, dilengkapi cip Kirin 990 dengan sokongan rangkaian 5G, memori sehingga 8GB RAM, dan storan sehingga 256GB.

Tablet ini turut hadir dengan bateri berkapasiti 7250mAh dengan pengecasan pantas 40W. Menariknya, Huawei turut menyertakan sokongan pengecasan nirwayar pada tablet ini, yang turut boleh digunakan mengecas peranti lain secara nirwayar.

Untuk rakaman gambar, Huawei menyertakan kamera swafoto 8-megapixel dihadapan, selain kamera belakang 13-megapixel. Melengkapkan tablet ini adalah sokongan aksesori seperti stylus dan juga papan kekunci.

Huawei juga turut menyertakan sedikit pengoptimasian pada perisian – termasuk sokongan menjalankan dua aplikasi secara bersebelahan dengan mudah, selain kebolehan untuk mengakses telefon pintar terus daripada tablet ini apabila dihubungkan.

Untuk sokongan aplikasi, Huawei menyatakan ia kini menyokong lebih 1000 aplikasi yang dioptimasikan melalui kedai aplikasi mereka tersendiri.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah pihak Huawei akan melancarkan tablet ini untuk pasaran tempatan.


TIPS & ULASAN