Cari @ Amanz

Fujifilm X-T4 telah dilancarkan hari ini kurang dua tahun selepas Fujifilm X-T3 mula dipasarkan. Dengan X-T4, kamera nircermin ini akhirnya mempunyai sokongan IBIS lima paksi untuk penstabilan imej yang lebih baik. Sensor 26.1-Megapixel X-Trans CMOS 4 APS-C yang dijana pemproses X-Processor 4 walau bagaimanapun digunakan semula dari X-T3.

Ia mampu merakam gambar sehingga 30FPS menggunakan pengatup elektronik atau sehingga 15 FPS menggunakan pengatup mekanikal. Video pada tetapan 4K 60FPS 10-bit boleh dirakam. Ia turut dilengkapi viewfinder OLED sebesar 0.5-inci. Sebuah panel LCD sebesar 3-inci terletak pada panel belakang yang boleh digerakkan mengikut keperluan pengguna. Panel LCD kini boleh dikeluarkan ke bahagian sisi atau diputar terbalik untuk tidak terdedah kepada kerosakan. Pada model terdahulu ia sekadar boleh didongak ke atas.

Bateri yang disertakan membolehkan sehingga 500 gambar diambil berterusan dalam mod normal atau 600 gambar dalam mod ekonomi. Jika aksesori pemegang VG-XT4 pula digunakan, ia meningkat ke 1600 gambar. Turut diperkenalkan pada X-T4 ialah mod gambar ETERNA Bleach Bypass yang memberikan imej seakan filem dengan saturasi warna rendah.

 

Sebuah bicu audio 3.5mm diletakkan pada sisi yang membolehkan rakaman audio didengari terus menggunakan fon kepala/fon telinga. Port USB-C yang disertakan pula boleh digunakan untuk menyambungkan sebuah powerbank untuk meningkatkan tempoh penggunaan kamera, tujuan pengecasan dan pemindahan data.

Fujifilm X-T4 `akan mula dijual bermula sekitar Mac pada harga $2099 (~RM 8899) dengan lensa kit XF 18-5mm, $2199 (~RM9323) dengan lensa 16-80mm dan $1700 (~RM 7207) tanpa lensa dalam warna hitam atau perak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd