Cari @ Amanz

Tiga peranti Galaxy S20 dilancarkan oleh Samsung tahun ini dengan S20 Ultra adalah model paling premium untuk pasaran Malaysia. Perbezaan paling ketara pada 20 Ultra berbanding saudaranya S20 dan S20+ terletak pada teknologi kamera. Samsung menyertakan semula mekanisme zum periskop pada peranti mereka sejak Galaxy K Zoom hampir enam tahun yang lalu.

Saban tahun harga peranti semakin meningkat dengan alasan semakin banyak fungsi baharu diperkenalkan. Pemampatan puluhan teknologi tercanggih ke dalam peranti adalah kerana permintaan pengguna sendiri yang memerlukan penambahbaikan berbanding model terdahulu. Ini menimbulkan persoalan sama ada majoriti fungsi-fungsi ini benar-benar diperlukan? Ini menjurus kepada soalan paling lazim kami terima iaitu “berbaloi atau tidak untuk dimiliki?”. Jawapan kepada soalan ini akan kami jawab secara panjang di dalam ulasan untuk Samsung Galaxy S20 Ultra ini.

Spesifikasi

Samsung Galaxy 20 Ultra
Skrin 6.9″ WQHD+
Dynamic AMOLED 2X, HDR10+, 120Hz
Pemproses Exynos 990
Cip 2.7 X 2 GHz Mongoose M5
2.5 X 2 GHz Cortex A76
2.0 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G77 MP11
RAM 12 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman 128GB UFS 3.0
(mikro SD sehingga 1TB)
Kamera Utama 108+12+48+ 3D TOF Megapixel.
f/1.8+f/2.2+f/3.5, OIS, HDR
Kamera Depan 40 Megapixel f/2.2
Bateri 5000 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan RM 4999

Galaxy S20 Ultra ialah peranti dengan saiz skrin terbesar pernah digunakan dalam sejarah Galaxy S setakat ini. Ia 0.2-inci lebih besar berbanding S10 5G dan 0.1-inci lebih besar berbanding Note 10+. Skrin ini menggunakan teknologi Dynamic AMOLED 2X, menyokong resolusi WQHD+. kadar segar semula 120Hz dan juga HDR10+. Dengan kata lain ini ialah skrin terbaik pernah dihasilkan Samsung untuk telefon pintar mereka.

Selepas menerima kecaman pengguna kerana tidak menyokong kadar sedar semula 90Hz, Samsung terus memberikan skrin 120Hz pada ketiga-tiga model S20 tahun ini. Pengguna diberikan pilihan untuk menggunakan 60 atau 120 Hz yang boleh diubah menerusi tetapan peranti.

Dengan pilihan ini pengguna yang lebih mementingkan hayat bateri boleh memilih untuk menyahaktifkan skrin 120Hz yang akan memberikan pengalaman tatalan yang lebih lancar. Sokongan 120Hz pada waktu ini hanya diberikan sehingga resolusi FHD+ dan HD+ sahaja.

Selain itu peranti juga mempunyai rekaan bezel yang lebih nipis berbanding model tahun lalu. Ia lebih menghampiri saiz bezel yang ditemui pada Galaxy Note 10. Perubahan pada saiz lengkungan sisi juga telah dilakukan sehingga ia hampir kelihatan rata. Bagi mereka yang merungut skrin melengkung mencacatkan pandangan ketika menonton video, rekaan baharu ini pastinya akan disambut baik.

Pengimbas cap jari ultrasonik terbina bawah skrin dikekalkan. Ini membolehkan jari diimbas walaupun ia basah ataupun kotor. Hanya satu cap jari boleh diimbas dengan saiz kawasan permukaan pengimbas yang masih kecil. Oleh sebab itu kami mempunyai teori Samsung masih belum menggunakan pengimbas cap jari ultrasonik generasi terbaru yang diperlihatkan oleh Qualcomm pada Disember tahun lalu.

Kami difahamkan untuk pasaran Malaysia, pemproses terkini Exynos 990 akan digunakan dan bukannya Snapdragon 865. Pemproses lapan teras ini dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 7nm dengan konfigurasi 2+2+4 teras. Dua teras utama teras Mongoose M5 dengan kelajuan 2.7 GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A76 dengan kelajuan 2.5 GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 2.0 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G77 MP11.

Ini dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan 128GB UFS 3.0 sahaja di Malaysia. Ini adalah pilihan yang agak mengecewakan kerana sebelum S10 dan Note 10 ditawarkan dengan saiz storan sehingga 512GB. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB.

Bercakap mengenai kamera pula, kuad-kamera utama menggabungkan sensor 108+12+48+3D TOF Megapixel. Sensor 108-Megapixel dipadankan dengan lensa f/1.8. Sensor 12-Megapixel f/2.4 dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 120 darjah. Akhir sekali sensor 48-Megapixel f/3.5 dipadankan pula dengan mekanisme periskop yang memberikan kemampuan zum optikal hibrid sehingga 10X atau zum digital sehingga 100X.

Kamera hadapan pada S20 pula adalah sebesar 40-Megapixel f/2.2 yang diletakkan di dalam lubang kamera pada bucu atas sebelah kanan. Sekali lagi ini ialah saiz kamera swafoto terbesar pernah digunakan pada peranti Galaxy S.

Mengusai peranti ialah bateri sebesar 5000 mAh yang adalah 500 mAh lebih besar berbanding S10 5G. Kombinasi pemproses berkuasa tinggi, sokongan 5G dan skrin 120Hz memerlukan bateri yang bersaiz gergasi ini digunakan. Sokongan pengecasan pantas berwayar sehingga 45W dan nirwayar disertakan. Namun begitu hanya pengecas 25W disertakan dengan setiap pembelian.

Maka pemilik tidak perlu risau bateri yang besar ini memerlukan masa yang lama untuk dicas semula. Dengan PowerShare pula, S2o Ultra boleh mengecas peranti lain seperti Galaxy Buds+ secara nirwayar. Kesemua komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Siri Galaxy S20 membawakan beberapa pembaharuan dengan integrasi butang Bixby pada butang kuasa, sekaligus mengikut rekaan Note 10 dan Note10+ yang tidak mempunyai butang khusus Bixby. Ia juga mempunyai bezel yang lebih nipis, dan ini sekaligus membuatkan paparan skrin yang lebih besar dapat diletakkan tanpa terlalu mempengaruhi pertambahan saiz peranti.

Satu lagi ura-ura yang dibuktikan benar adalah bahagian tepi skrin yang kini kurang melengkung. Ia tidak mempunyai lengkungan yang sama dengan siri S10, namun fungsi Edge Screen masih tersedia, dan aplikasi popular yang berfungsi pada tepi paparan skrin dapat diakses seperti biasa. Rekaan baharu ini menyelesaikan masalah kandungan video yang terpotong kerana dipaparkan pada sisi skrin.

Sokongan audio stereo diberikan menerusi pembesar suara pada bahagian bawah dan gagang telinga yang terletak di atas kamera swafoto. Dengan ini S20 Ultra memberikan pengelaman audio yang baik lengkap dengan sokongan Dolby Atmos.

Kesemua butang diletakkan pada sebelah kanan peranti, dengan butang kawalan tahap bunyi dan juga butang kuasa di bawahnya. Pada hemat kami kedudukan butang kuasa dan suara pada sisi kanan adalah lebih mesra pengguna berbanding sisi kiri pada Note 10.

Pada siri S20 ini juga, tiada lagi bicu audio 3.5mm dan pengguna akan diberikan fon telinga yang menggunakan sambungan USB-C. Dengan ini secara rasminya Samsung tidak lagi menyertakan bicu audio pada kesemua peranti mercu mereka setelah melakukannya pada Note 10 tahun lalu. Ini tidak mengejutkan kerana ia adalah trend sejak tiga tahun yang lalu.

Penggunaan

Samsung Galaxy S20 Ultra membawakan rekaan yang sedikit besar tetapi jauh lebih tebal berbanding Note 10+. Akibatnya kami mengambil masa beberapa hari untuk membiasakan diri menggunakannya dengan selesa. Yang membuatkannya kurang selesa adalah kerana pengagihan berat yang tidak seimbang. Peranti adalah lebih berat pada bahagian atas kerana bonjol serta mekanisme kamera yang amat besar.

Adalah mustahil untuk tidak bercakap mengenai bonjol kamera S20 Ultra yang amat besar. Ia hampir dua kali ganda lebih besar berbanding yang dapat dilihat pada S20 dan S20+. Saiz yang besar ini digunakan kerana mekanisme periskop kompleks yang digunakan. Akibatnya adalah mustahil untuk meletakkan peranti rata pada permukaan meja.

Tetapi masalah paling besar ialah jari yang sering menghalang lensa kamera kerana kedudukannya yang lain berbanding peranti-peranti Samsung sebelum ini. Cara peranti dipegang untuk mengambil gambar perlu diubah apabila menggunakan S20 Ultra. Masalah ini sama seperti yang berlaku ketika kami mengulas Mate 20 Pro dan Mate 30 Pro yang turut mempunyai modul kamera yang besar. Ini adalah sebab mengapa majoriti peranti di pasaran meletakkan modul kamera pada bucu atas sebelah kanan bagi mengelakkan jari menghalang lensa.

Samsung memberikan sebuah kerangka lembut lutcahaya yang melegakan kerisauan jika peranti terjatuh. Secara logiknya jika anda membelanjakan hampir RM5000 untuk sebuah telefon pintar, anda turut membeli sebuah kerangka tahan lasak. Kombinasi saiz skrin besar, panel kaca gergasi, bonjol kaca kamera yang menonjol dan peranti yang berat hanya meninggikan kebarangkalian kerosakan berlaku jika ia terjatuh tanpa sebarang kerangka.

Antaramuka

 Sistem operasi Android 10 dengan pelancar Samsung One UI 2.1 digunakan pada  S20 Ultra. Tiada perubahan yang ketara dilakukan pada rekaan ikon dan elemen antaramuka. Samsung hanya menambah beberapa fungsi baharu seperti QuickShare seakan AirDrop dan juga rutin Bixby yang dipertingkatkan. Menerusi rutin ini peranti akan memberikan saranan kandungan pada aplikasi seperti Netflix dan Spotify.

Antaramuka One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Ini adalah amat penting kerana saiznya yang bukan sahaja lebih besar berbanding Galaxy S terdahulu malah juga yang terberat (220 gram) pernah dihasilkan. Kami telah biasa menggunakan Note 10+ sejak tahun lalu dan transisi ke S20 Ultra tidak terasa terlalu janggal tetapi jika anda tidak biasa menggunakan peranti bersaiz besar, S20 Ultra boleh memberikan sedikit cabaran.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi-tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android 10 asli juga disertakan walaupun tanpa butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Secara default navigasi tiga butang ini diaktifkan.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Galaxy S20 Ultra.

Always On Display – Skrin memaparkan notifIkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care – Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Dex – Mod desktop apabila disambungkan kepada PC atau Mac.

Display – Mengubah resolusi ke HD+, FHD+ dan WQHD+. Kadar segar semula 60Hz atau 120Hz juga boleh dipilih. Kadar segar semula 120Hz tidak boleh digunakan pada resolusi WQHD+.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Edge Screen – Pintasan pantas kepada beberapa fungsi seperti lampu suluh, nombor kontak penting dan berita.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang beRmain.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation – Mengubah sistem navigasi tri-butang atau berasaskan gesture boleh dipilih.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

QuickShare – Sistem perkongsian pantas antara peranti Samsung seakan Apple AirDrop. Pada waktu ini hanya menyokong S20 dan Galaxy Fold sahaja.

Kamera

Empat kamera utama menggabungkan sensor 108+12+48+3D TOF Megapixel.(f/1.8+f/3.5+f/2.2). Konfigurasi kamera ialah sensor gergasi digunakan pada lensa sudut lebar, 12-Megapixel pada sensor ultra sudut lebar dan 48-Megapixel pada lensa telefoto. Dengan mekanisme periskop, S20 Ultra menyokong sistem zum hibrid 10X dan zum digital sehingga 100X. Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 40-Megapixel f/2.2 yang diletakkan di dalam lubang kamera. Walaupun sensor yang digunakan adalah besar, saiz lubang kamera pasa S20 Ultra adalah lebih kecil berbanding Note 10+.

Dengan penggunaan sensor yang besar, S20 Ultra mampu melakukan rakaman video 8K 24FPS pada kamera utama ataupun 4K 60FPS. Kamera hadapan turut mampu merakam video pada kadar tinggi 4K 60FPS. Sungguhpun begitu tempoh rakaman untuk video 8K 24FPS ini dihadkan ke 10 minit sahaja pada satu-satu masa.

Antaramuka aplikasi kamera S20 Ultra tidak mengalami sebarang perubahan drastik. Kesemua elemen antaramuka dapat dilihat dengan jelas dan mudah difahami. Terdapat pelbagai mod tambahan seperti Panorama, Pro, Night dan Live Focus. Pengguna kemudian boleh mengkustomasi mod apakah yang ingin diletakkan pada pintasan pantas.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah pintasan mengambil gambar Single Take pula mengautomasikan proses menghasilkan klip pendek, video berulang (loop) dan GIF beranimasi.

Penggunaan Kamera

Kerana penggunaan sensor yang besar, kami menyedari S20 Ultra tidak mampu mengambil gambar dengan pantas. Setiap gambar yang diambil akan diproses terlebih dahulu sebelum imej akhir boleh dilihat dalam galeri. Ini mengambil masa beberapa saat bergantung kepada resolusi. Dari pengamatan kami ia mengambil masa sekitar empat saat dalam mod 108MP dan sekitar dua saat dalam mod biasa serta nisbah 4:3.

Pujian kami berikan kepada antaramuka aplikasi kamera yang kemas dan mudah digunakan. Ikonografi pelbagai fungsi senang difahami. Terdapat banyak pintasan pantas untuk zum terus ke 0.5X, 1.0X, 2.0X, 4.0X, 10X, 30X, 100X. Ini ialah kelemahan yang ada kami sentuh dalam ulasan P30 Pro tahun lalu. Samsung memberikan antaramuka mod zum yang kami rasakan lebih mesra pengguna pada siri S20 tahun ini.

Bagaimana pula dengan masalah zum yang tular sejak seminggu lalu. Ikhlas kami katakan ia tidak kami sedari sehinggalah isu ini ditimbulkan oleh pengulas lain. Kami hanya mencuba mod zum apabila di luar dan kesemua gambar yang diambil adalah tajam. Apabila aplikasi gagal memfokus subjek secara automatik, kami menyentuh skrin dan masalah ini selesai.

Tetapi jika mod zum 10X dan ke atas digunakan di dalam kawasan tertutup seperti mengambil gambar makanan di atas meja barulah masalah kecil ini menjadi besar. Subjek langsung tidak dapat difokus seperti gambar di atas. Ia percubaan kami untuk mengambil gambar papan kekunci di pejabat. Selepas skrin ditekan berkali-kali aplikasi masih gagal memfokus imej dengan betul.

Kami telahpun menerima kemas kini untuk bukan Mac yang menurut log perubahan yang dilakukan sepatutnya membaiki masalah ini. Dukacita dimaklumkan pasca kemas kini, masalah sukar untuk memfokus apabila menggunakan mod zum masih lagi berlaku. Harus kami nyatakan kemas kini Mac yang sama diterima pada S20 dan S20+. Besar kemungkinan ini bukanlah kemas kini membaiki kamera yang dijanjikan Samsung minggu lalu untuk S20 Ultra. Artikel ini akan kami sunting semula sejurus selepas menerima kemas kini kamera yang dijanjikan.

Seperti peranti Pixel, S20 Ultra memproses setiap gambar terlebih dahulu bagi memastikan ketajaman dan warna. Baik atau buruknya akan kami sentuh semula di dalam segmen di bawah. Yang ketara ialah seperti Pixel 4 dan iPhone 11 Pro Max, S20 Ultra turut menggunakan pasca-proses untuk memastikan setiap gambar yang diambil menghasilkan imej yang memuaskan.

Keperluan memproses setiap gambar mewujudkan satu masalah yang amat asing bagi kami pada peranti Samsung. Semakin banyak gambar diambil secara berterusan, peranti akan menjadi semakin panas. Ia tidak membuatkan peranti tidak selesa untuk digunakan tetapi kami dapat merasakan perbezaan suhu pada panel belakang jika kerangka ditanggalkan.

Peranti turut menjadi panas dengan pantas selepas mengambil video 8K walaupun sekadar seminit. Kuasa memproses tinggi yang diperlukan menyebabkan peranti menjadi panas lebih pantas berbanding ketika mengambil gambar.

Kualiti Gambar

Tiba ke segmen kualiti gambar yang dinantikan kebanyakan pembaca artikel ini. Biarkan gambar berbicara dan anda sendiri menjadi hakim. Pada hemat kami penambahbaikan kualiti kamera S20 Ultra jika dibandingkan dengan S10+ dan Note 10+ adalah amat ketara sekali. Walaupun dalam mod auto, gambar yang diambil kelihatan bermaya dan tajam. Pujian kami berikan kepada penghasilan semula warna yang amat hidup.

Scene Optimiser apabila diaktifkan akan memastikan gambar yang diambil diambil dengan tetapan yang betul. Pada S10+ dan Note 10+ kami merungut Samsung cuba menjadi Apple dengan gambar yang tidak menjalani pasca proses yang agresif. Hasilnya ialah gambar yang warnanya kurang hidup dan saturasi yang rendah berbanding peranti mercu Samsung yang lain.Pada S20 Ultra gambar akan menjalani pasca proses yang agresif dan saturasi adalah lebih tinggi berbanding situasi sebenar.

Ya kami tahu ada beberapa kem dengan fahaman berbeza mengenai apakah yang layak dipanggil “kualiti gambar yang baik”. Kem iPhone akan mengatakan gambar yang terhasil harus sama dengan situasi sebenar. Kem Samsung akan mengatakan gambar terang dengan saturasi tinggi adalah perlu. Kem Huawei pula mengatakan gambar mod malam perlu kelihatan terang.

Kami tidak boleh mengatakan fahaman mana yang betul di sini. Apa yang kami tahu ialah pada S20 Ultra gambar yang diambil dalam majoriti situasi tidak menggambarkan situasi sebenar. Walaupun ia adalah “gambar palsu” ia masih kelihatan baik jika diletakkan bersebelahan gambar yang diambil menggunakan iPhone 11 Pro Max dan P30 Pro. Buktinya dapat dilihat sendiri dalam artikel perbandingan kamera yang kami terbitkan beberapa minggu yang lalu.

Dalam ujian buta yang dilakukan, ramai bersetuju gambar S20 Ultra adalah yang terbaik di antara ketiga-tiga peranti yang disebutkan tadi. Ini adalah perkara yang mengejutkan kerana dalam ujian-ujian yang dilakukan tahun lalu, peranti Samsung langsung tidak terpilih kerana di belakang Apple dan Huawei.

Kesimpulan di sini ialah kelemahan tahun lalu telah diperbaiki oleh Samsung. Gambar lebih bermaya dan tajam. Mod malam kini berguna dan bukan sekadar mod menambah hingar. Kemampuan zum juga memintas Huawei. Paling penting sekali dalam mod 30X zum sekalipun imej masih stabil dan tidak bergoyang teruk seperti pada P30 Pro.

Kemampuan Zum

Berikut adalah contoh gambar yang diambil pada tetapan zum 1X, 4X, 10X, 30X dan 100X.  Kualiti gambar adalah amat memuaskan sehingga zum 10X kerana masih menggunakan sistem optikal hibrid. Pada tetapan 30X gambar mula kehilangan ketajaman dan objek yang kelihatan aneh selepas diproses peranti. Gambar yang agak kabur ini dihasilkan walaupun pada viewfinder imej kelihatan stabil. Pada tetapan 100X gambar menjadi semakin kabur sehingga kami rasakan tidak boleh digunakan untuk dimuat naik ke media sosial sekalipun. Tambahan lagi imej pada viewfiender terhuyung-hayang sehingga sukar untuk mengambil gambar tanpa bantuan tripod.

Kemampuan zum angkasa sehingga 100X diiklankan oleh Samsung bagi menunjukkan kelebihan peranti ini. Tetapi kami merasakan ia sekadar gimik seperti zum 60X yang diperkenalkan oleh P30 Pro. Mempunyai kemampuan zum yang tinggi adalah menarik di atas kertas tetapi sebenarnya tidak mempunyai kegunaan praktikal dalam kehidupan harian. Ia sekadar gimik dan kami berani bertaruh ia akan digunakan beberapa kali pada minggu pertama sebelum dilupakan.

Kami berani mengeluarkan kenyataan ini kerana memiliki P30 Pro dan Mate 30 Pro. Pada tahun 2021 kami meramalkan pengeluar perlu memberikan perhatian zum hibrid sehingga 10X sahaja kerana majoriti pengguna memerlukan kemampuan zum yang terlalu tinggi. Mereka hanya membayar lebih untuk fungsi gajah putih.

Peranti dengan mod malam terbaik pernah diulas di Amanz ialah P30 Pro. Tetapi berdasarkan beberapa ujian yang telah kami lalukan, takhta kini berpindah tangan ke S20 Ultra. Gambar yang diambil menggunakan S20 Ultra adalah lebih terang, tajam dan mempunyai penghasilan warna semula yang lebih tepat berbanding iPhone 11 Pro Max dan P30 Pro. Lihat gambar di bawah yang diambil menggunakan S20 Ultra.

Gambar di bawah ini pula ialah perbezaan secara sebelah menyebelah. Gambar paling kiri ialah iPhone 11 Pro Max, S20 Ultra di bahagian tengah dan P30 Pro pula pada sebelah kanan. Dahan dan daun pokok adalah lebih terang dapat dilihat pada gambar yang mod malam S20 Ultra berbanding dua peranti pesaing.

Berikut adalah dua lagi sampel gambar yang diambil bagi menunjukkan kemampuan mod malam S20 Ultra. Imej pertama diambil tanpa mod malam bagi menunjukkan tahap kegelapan sebenar ketika gambar diambil.

Video

Peranti mampu melakukan rakaman video sehingga  8K 24FPS. Walaupun kualiti video adalah baik, kadar bingkai yang rendah membuatkan ia kurang memuaskan. Ini adalah kerana kami sudah membiasakan diri dengan rakaman video 4K 60FPS yang kelihatan jauh lebih lancar.

Kami juga percaya kebanyakan pengguna akan memilih kadar bingkai yang lebih tinggi adalah lebih penting berbanding resolusi lebih tinggi. Tambahan lagi tidak ramai di antara kita mempunyai akses kepada TV yang menyokong paparan 8K untuk benar-benar menjadikan rakaman 8K ini berbaloi untuk digunakan. Tambahan lagi saiz fail mencecah 600MB untuk rakaman 8K 24FPS selama seminit. Untuk rakaman 4K 60FPS untuk tempoh yang sama saiz fail ialah sekitar 520MB.

Bagaimana pula dengan kemampuan rakaman 4K 60FPS pada S20 Ultra? Video adalah lancar dengan penstabilan yang baik jika pergerakan yang pantas tidak dilakukan. Pada video di bawah dapat dilihat sistem penstabilan yang bekerja keras sehingga pergerakan tidak kelihatan lancar. Malahan ketidaklancaran ini dapat dilihat apabila kamera cuba memfokus pada objek ketika kami melakukan panning.

S20 Ultra mungkin raja mod malam dan zum pada waktu ini tetapi takhta peranti rakaman video terbaik masih lagi dipegang oleh iPhone 11 Pro Max. Peranti Apple ini boleh mengambil video yang lebih lancar tanpa sebarang masalah pemfokusan walaupun ketika melakukan panning dengan pantas.

 

Audio

Audio stereo yang mantap dapat dinikmati dari sepasang pembesar suara stereo yang disertakan. Satu pembesar suara terletak pada bahagian hadapan manakala satu lagi pada bahagian bawah. Sungguhpun begitu kualiti audio yang dihasilkan masih lagi seimbang dan paling penting sekali lantang. Untuk kenikmatan audio sebenar, kami menyarankan sistem Dolby Atmos diaktifkan sepanjang masa. Secara default ia tidak diaktifkan.

Kesemua codec audio utama disokong bagi memastikan muzik kegemaran dapat didengari pada kualiti yang terbaik. Satu-satunya kekurangan ialah tiada lagi bicu audio kerana ini ialah trend semasa. Ramai yang pasti merinduinya tetapi kami bagi menghasilkan peranti berbezel kecil dan saiz bateri yang besar, bicu audio terpaksa dikorbankan.

Penanda Aras

Seperti tahun-tahun terdahulu, S20 Ultra untuk pasaran Malaysia menggunakan cip Exnos. Exynos 990 tahun ini dipadankan dengan memori sebesar 12GB LPDDR5 dan storan 128GB UFS 3,0. Cip yang digunakan adalah kemas kini kepada Exynos 9825 yang digunakan pada Note 10+. Kedua-dua cip dihasilkan menggunakan teknologi 7nm tidak seperti Exynos 9820 pada S10+ yang masih menggunakan teknologi 8nm.

Apabila ujian penanda aras Antutu 3D dan Geekbench 5 dilakukan, markah yang dicatatkan oleh S20 Ultra adalah seperti berikut – 509,428 markah dalam ujian Antutu 3D dan 903/2685 markah dalam ujian Geekbench 5. Pada waktu ini S20 Ultra ialah antara peranti yang paling berkuasa pernah diulas di makmal Amanz kerana dengan mudah memintas markah yang dicatatkan oleh peranti-peranti yang menggunakan Snapdragon 855+ seperti OnePlus 7T.

Walaupun dilancarkan selepas Apple A13 Bionic, Exynos 990 masih belum mampu memintas markah yang dicatatkan pemproses terbaik Apple. Cip tersebut mencatatkan 562,339 markah dalam ujian Antutu 3D dan 1336/3446 markah dalam ujian GeekBench 5.

Oleh sebab itu keputusan Samsung untuk tidak memasarkan S20 Ultra dengan cip Snapdragon 865 adalah mengecewakan. Dalam ujian pada model prototaip Snapdragon 865, ia mencatatkan markah yang lebih tinggi berbanding Exynos 990. Beberapa markah penanda aras peranti sebenar dengan Snapdragon 865 telah mula tertiris ke arena web dan kesemuanya adalah lebih tinggi berbanding A13 Bionic. Berita baik bagi Samsung ialah cip mereka masih lebih berkuasa jika dibandingkan cip Huawei Kirin 990 5G.

Cip Eynos 990 adalah kurang berdaya saing untuk menentang A13 Bionic dan Snapdragon 865 tahun ini. Maka tidak mengejutkan Samsung telahpun menutup pembangunan CPU buatan sendiri mereka tahun lalu. Tahun ini pelbagai peranti dengan Snapdragon 865 akan memasuki pasaran Malaysia dan ini meletakkan S20 Ultra di kedudukan yang kurang selamat kerana cip yang digunakan adalah kurang kompetitif.

Bateri

Bateri 5000 mAh yang digunakan adalah yang terbesar pernah digunakan dan kami pada awalnya amat berharap ia akan mempunyai hayat penggunaan yang jauh lebih baik berbanding S10+.

Dalam penggunaan paling berat dengan skrin 120Hz, peranti bertahan selama hampir 13 jam dengan skrin terpasang selama 5 jam 15 minit. Apabila mod 120Hz digantikan pula dengan mod 60Hz, peranti bertahan sehingga hampir 18 jam dengan skrin terpasang selama 7 jam 13 minit.

Kedua-dua ujian bateri dilakukan dengan penggunaan yang kami kategorikan sebagai agak berat kerana dilakukan menggunakan sambungan selular, banyak mengambil gambar serta mengaktifkan aplikasi GPS.

Hayat bateri dalam mod 60Hz jelas adalah jauh lebih baik. Tetapi kami sebenarnya mengharapkan S20 Ultra mempunyai prestasi bateri yang lebih baik kerana 700 mAh lebih besar berbanding Note 10+. Hayat bateri Note 10+ mencecah 18 jam dan skrin terpasang pada penggunaan yang sama.

Hayat bateri mungkin tidak sebaik yang kami idamkan tetapi tempoh pengecasan adalah amat baik. Bateri boleh dicas dari sifar ke 100% dalam masa 68 minit sahaja menerusi pengecas 25W yang diberikan. Sebagai perbandingan bateri Note 10+ mengambil masa 70 minit untuk dicas sepenuhnya.

S20 Ultra menyokong pengecas Super Fast Charger 45W tetapi kami tidak sempat melakukan ujian kerana tidak memilikinya. Jika pengecasan nirwayar penting bagi anda, ia boleh dicas dengan output 15W dan pada waktu yang sama mengecas peranti lain secara nirwayar dengan output 9W.

Pesaing

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy S20 Ultra 5G Huawei Mate 30 Pro 5G Apple iPhone 11 Pro Max
6.9″ Dynamic AMOLED X2 QHD+, HDR10+ (498 PPI) 6.53″ Fluid OLED FHD+ (409 PPI) 6.5″ OLED XDR Retina, HDR10 (458 PPI)
Exynos 990
2 X 2.7 GHz Mongoose M4
2 X 2.5 GHz Cortex A76
4 X 1.0 GHz Cortex A55
Kirin 990 5G
2 X 2.86 GHz Cortex A76
2 X 2.36 GHz Cortex A76
4 X 1.95 GHz Cortex A55
A13 Bionic
2 X 2.65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Cortex A55
Mali-G77 MP11 Mali-G76 MP16 Apple GPU
12 Gigabyte 8 Gigabyte 4 Gigabyte
128 UFS 3.0 (SD Card sehingga 1TB) 256 Gigabyte UFS 3.0 (NM Card 256GB) 64/256/512 Gigabyte
Kamera Utama 108+12+48+3D Megapixel (f/1.8+f/2..2+f/3.5), OIS, PDAF, Zum Optikal Hibrid 10X, Zum Digital 100X Kamera Utama 40+8+40+3D Megapixel (f/1.6+f/2..4+f/1.8), OIS, PDAF, Zum Optikal 3X, Zum Digital 30X Kamera Utama 12+12+12 Megapixel, (f/1.8+f/2.4+f/2.0), OIS, Zum Optikal 2X
Kamera Hadapan 40-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 12 Megapixel f/2.2
IP68 IP68 IP68
5000 mAh (Berwayar 45W)/Nirwayar 15W) 4500 mAh (Berwayar 40W/Nirwayar 27W) 3969 mAh (Berwayar 18W/Nirwayar Qi)
RM4999 RM4199 Dari RM5299

Kesimpulan

Adakah Samsung Galaxy S20 Ultra berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah soalan yang diajukan di awal artikel. Selepas hampir 4000 patah perkataan jawapan yang boleh saya berikan ialah ya sekiranya anda mampu. Pada harga RM4999 adalah mudah untuk mengatakan ia terlalu mahal atau membazir untuk dimiliki. Tetapi hakikatnya Samsung berjaya memuatkan teknologi-teknologi terkini dan terbaik dunia telefon pintar ke dalam Galaxy S20 Ultra.

Dengan saban tahun teknologi terbaru ditambah tanpa banyak teknologi lama dibuang, S20 Ultra kini menjadi sebuah Swiss Army Knife yang boleh digunakan dalam pelbagai situasi harian dan kecemasan. Ia mempunyai kuasa memproses yang amat memuaskan. Kemampuan kamera yang akhirnya melangkaui apa yang mampu ditawarkan Huawei dan Apple.

Tambah lagi sistem zum pada telefon pintar yang paling stabil juga disertakan. Pada zum 30X proses mengambil gambar masih mudah kerana imej tidak bergoyang teruk seperti yang kami alami pada P30 Pro. Jika anda enggan hidup dengan kompromi, Samsung Galaxy S20 Ultra adalah antara peranti paling padu pernah dihasilkan setakat ini.

Tetapi dilema di sini ialah majoriti pengguna tidak memerlukan sebuah Swiss Army Knife. Mereka lebih dari cukup gembira dengan hanya memiliki sudu, garpu. pisau dan gunting. Oleh itu membayar hampir RM500 untuk pencungkil gigi, lampu suluh, pisau cukur dan pemotong kuku yang tidak diperlukan boleh dilihat sebagai membazir.

Apa yang boleh kami katakan mengenai S20 Ultra ialah ia peranti yang paling lengkap di pasaran selepas Note 10+. Kemampuan kameranya adalah terbaik di dalam kelas pada waktu ini. Teknologi skrin 120Hz akan mengubah cara anda menggunakan peranti asalkan hayat bateri tidak penting bagi anda.

Dengan kata lain jika anda memang sedang mencari sebuah peranti Swiss Army Knife, Samsung Galaxy S20 Ultra ialah peranti mercu padu untuk individu yang mampu.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Peranti Samsung paling berkuasa tahun ini. Aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan tanpa masalah.
  • Antaramuka One UI memudahkan penggunaan peranti dengan sebelah tangan.
  • 12GB RAM membolehkan puluhan aplikasi dilancarkan tanpa segar semula.
  • Kemampuan rakaman video dan gambar yang baik. Menebus kekurangan pada S10+ dan Note 10+.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • Pengecasan sehingga 45W disokong.
  • Masalah dengan mod zum memfokus apabila digunakan di kawasan tertutup.
  • Storan 128GB adalah terlalu kecil bagi sebuah peranti mercu premium.
  • Bonjol kamera terlalu besar. Lensa kerap dihalang jari.
  • Peranti terlalu tebal sehingga kurang selesa digunakan sebelah tangan.
  • Skrin 120Hz menggunakan bateri dengan pantas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd