Oppo Reno3 Pro Edisi Global Kini Rasmi – MediaTek Helio P95 Dan Zum Hibrid 5X

Oppo Reno3 Pro Edisi Global Kini Rasmi – MediaTek Helio P95 Dan Zum Hibrid 5X

Diterbitkan pada Mac 2, 2020 oleh .

Oppo Reno3 Pro versi global telah dilancarkan hari ini dengan penambahbaikan berbanding yang dilancarkan di China Disember lalu. Perubahan paling ketara ialah sensor kamera utama serta swafoto yang lebih besar dan cip pemproses.

Pertama sekali ialah penggunaan kuad kamera 64+13+8+2 Megapixel pada bahagian belakang. Ini terdiri daripada lensa sudut lebar 64 MP, telefoto 13 MP, ultra sudut lebar 8 MP dan monokrom 2MP. Pada bahagian hadapan pula ialah kamera sebesar 44MP dipadankan dengan sensor 2MP yang mengesan kedalaman bagi menghasilkan mod potret yang lebih jitu. Kamera utama nampaknya meningkat dari 48 MP manakala kamera hadapan pula meningkat dari 32MP.

Dari segi spesifikasi,Oppo Reno3 Pro dilengkapi skrin 6.5-inci AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip MediaTek Helio P95 memori sehingga 8GB RAM, storan sehingga 256GB, dan dilengkapi bateri sehingga 4025mAh. Ia turut menyertakan pengecasan pantas 30W VOOC 4.0, selain dilengkapi pengimbas cap jari pada skrin. Dengan sistem pengecasan ini, peranti dapat dicas sepenuhnya dalam masa 56 minit.

Cip pemproses versi Reno3 Pro global tidak menggunakan Snapdragon 765G dan juga tidak menyokong rangkaian 5G. Cip Mediatek Helio P95 ialah cip yang baharu sahaja dilancarkan minggu lalu sebagai pengganti kepada Helio P90.

Ciri unik yang boleh dilakukan oleh Reno3  Pro ialah zum hibrid 5X dan zum digital 20x. Ini meneruskan tradisi peranti Reno yang terkenal dengan kemampuan zum. Disamping itu peranti turut boleh melakukan rakaman gambar 108 Megapixel menerusi fungsi ekstrapolasi serta Video Bokeh yang mengaburkan latar belakang ketika video diambil.

Di India Oppo Reno 3 Pro dijual pada harga INR 29,990 (~RM 1740) untuk versi 8/128GB dan INR 32,990 (~RM 1920) untuk versi 8/256GB.



TIPS & ULASAN